KUALA LUMPUR, 27 Julai — Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad (berdiri dua, kiri) menjawab beberapa soalan yang diajukan kepada beliau pada sesi dialog bersama penduduk Kampong Bharu semasa mengadakan lawatan ke Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu hari ini. Kesemua soalan yang diajukan tertumpu kepada Projek Pembangunan Semula Kampong Bharu.

Kementerian Wilayah akan mengkaji Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampong Bharu (PITPKB) bagi meneruskan usaha pembangunan semula.

Menteri Wilayah iaitu Khalid Abdul Samad berkata pembangunan Kampong Bharu itu perlu dan beliau akan membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi mendapatkan pendekatan yang berbeza tanpa terlalu membebankan kerajaan.

Ini kerana, Perdana Menteri mungkin mempunyai wawasan tersendiri mengenai pembangunan Kampong Bharu. Hal ini kerana ia memerlukan perancangan yang jelas. Sekiranya pembangunan semula Kampong Bharu tidak dilaksanakan
dengan sebaiknya. Ia mungkin akan menyebabkan berlaku kesesakan, Katanya.

Pada lawatan ini beliau meluangkan masa hampir sejam untuk sesi soal jawab bersama kira-kira 100 penduduk Kampong Bharu yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Datuk Seri Adnan Md Ikhsan.

Khalid berkata pihaknya juga akan mempertimbangkan rancangan untuk mengekalkan elemen Melayu bagi mempertahankan identiti dan sejarah Kampong Bharu itu sendiri.

Beliau turut memberi jaminan bahawa keputusan yang dibuat kelak tidak akan meminggirkan atau mengabaikan hak milik serta pewaris asal kampung berkenaan, malah memberi keuntungan kepada semua pihak yang terlibat.

“Pada masa ini, peranan yang giat dilaksanakan adalah untuk selesaikan isu pemilikan tanah dan mendapatkan persetujuan pemilik tanah, perkara ini memerlukan masa dan tolak ansur daripada semua pihak.”Kita cuba capai persetujuan secepat mungkin dan pihak pemaju perlulah menawarkan mengikut
pasaran semasa. Apa yang diharapkan adalah penyelesaian yang memuaskan hati kesemua pihak dan saya akan pastikan pemilik atau pewaris tidak tertipu,” katanya.

Sumber: Bernama