45,000 rumah mampu milik untuk orang Melayu bakal dibina di Kampung Baru

KHALID- KAMPUNG BARU

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan projek pembangunan semula Kampung Baru di sini akan membolehkan sebanyak kira-kira 45,000 unit kediaman dapat dibina untuk masyarakat orang Melayu di tengah-tengah kawasan segi tiga emas di ibu kota.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, pembinaan rumah mampu milik tersebut membolehkan lebih ramai orang Melayu dapat tinggal dalam kawasan bandar berbanding hanya 3,000 hingga 3,500 penduduk sedia ada di Kampung Baru pada masa ini.

”Luas kawasan perniagaan yang berjumlah satu juta kaki persegi dapat ditambah kepada antara 7 hingga 8 juta kaki persegi, ini menambah ruang niaga untuk orang Melayu.

“Jadi mana kata hendak halau orang Melayu, jangan termakan dengan hasutan,” katanya pada majlis Pra Pelancaran Sesi Town Hall Menteri Wilayah Persekutuan Bersama Pemilik Tanah Kampung Baru di pekarangan Masjid Jamek Kampung Baru pagi tadi.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Saripuddin Kasim; Pengerusi Perbadanan Kampung Baru (PKB), Tan Sri Ambrin Buang; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan; Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Zulkurnain Hassan dan Pengarah Eksekutif Perancang DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah.

Sesi tersebut merupakan pertemuan awal bersama pemilik tanah di Kampung Baru menjelang perjumpaan penuh pada 21 September ini di Dewan Perdana Felda yang dijadual dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kerajaan bakal mengumumkan pelan perancangan terperinci berkaitan pembangunan semula Kampung Baru dan membuat tawaran baharu kepada pemilik dan waris tanah melibatkan kira-kira 800 lot yang dimiliki lebih 5,000 penama di Kampung Baru.

Khalid sekali lagi menegaskan, kerajaan akan menerajui projek pembangunan semula itu atas dasar persetujuan dengan semua pihak berkepentingan terutama pemilik dan waris tanah.

“Kita libatkan semua pihak dalam pembangunan tersebut, bukannya dibuat secara rahsia dan bukan beli tanah tersebut secara paksa, setuju atau tidak setuju, ini bukan caranya.

“Kita runding bersama penduduk yang menjadi rakan kongsi,” katanya.

Katanya, reka bentuk dan bagaimana cara yang dilakukan bakal dibentang untuk mendapatkan maklum balas selain model pembangunan dalam format tiga dimensi (3D) turut dikemukakan.

Sumber: Wilayahku