Kampung Baru dibangunkan secara organik, parcel ke parcel

(Gambar fail) Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa. - FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pelan induk pembangunan Kampung Baru yang dirangka Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Kampong Bharu akan membabitkan pemecahan kawasan itu kepada lebih 40 ‘parcel’ dan dimajukan secara berperingkat parcel ke parcel.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata menerusi kaedah pembangunan secara organik itu, usaha menyelesaikan masalah pemilikan tanah dijangka dapat dilakukan dengan lebih mudah dan parcel tertentu dijangka boleh mula dibangunkan seawal tahun depan.

Katanya, pelan konsep pembangunan Kampung Baru yang diketengahkan tahun lalu tidak dapat diteruskan kerana hanya meraih maklum balas positif sekitar 61 peratus daripada keseluruhan pemilik tanah.

“Kerajaan merintis usaha lain untuk membangunkan kawasan itu supaya menepati prinsip perjanjian jual beli,” katanya di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) mengenai perkembangan rundingan bagi menyelesaikan isu tanah rizab Melayu di Kampung Baru.

Bagi memastikan komitmen berterusan daripada kerajaan, Annuar berkata, pihaknya membuat bidaan peruntukan bernilai RM1.5 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Katanya, bidaan peruntukan itu bakal menyaksikan usaha menaik taraf kemudahan dan prasarana di Kampung Baru dilakukan serta-merta.

Menjawab soalan tambahan Khalid Samad (PH-Shah Alam) mengenai keberkesanan perubahan pelan pembangunan di Kampung Baru kepada secara berperingkat pula, Annuar berkata, konsep diterapkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini tidak ditolak mentah-mentah.

“Pelan konsep dulu pada 2019, asasnya masih boleh dipakai. Dalam rancangan fizikal, pelan itu boleh diubah suai, tidak semestinya pakai semua yang ditinggalkan kerajaan lama.

“Ada juga benda sikit-sikit itu baik tetapi tidak cukup baik dan tidak cukup praktikal untuk kita laksanakan. Beri peluang kepada saya dan kerajaan untuk menggunakan pembangunan cara Perikatan Nasional (PN) selepas cara PH gagal untuk dilaksanakan.

“Langkah awal diambil, tanpa membuang masa seperti cara PH dulu, ialah kita akan terus membangunkan segala kemudahan prasarana utama dengan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion.

“Dalam pada itu, parcel lima ekar (dua hektar) ini di tengah bandar sudah cukup besar, satu ekar pun orang sudah berebut hendak bangunkan. Dengan adanya parcel lima ekar, kita boleh menjalankan pembangunan dengan membabitkan pemilik tanpa kita paksa,” katanya.

Annuar menegaskan, urusan jual beli tanah mengikut rancangan pentadbiran sebelum ini tidak boleh diteruskan apabila ia sekadar meraih persetujuan 50 peratus daripada keseluruhan pemilik.

Berteraskan konsep penawaran harga, beliau berkata, ia perlu dilaksanakan mengikut persetujuan bersama antara pemaju dan pemilik tanah.

“Kalau ada seorang pun yang tidak bersetuju, proses pembelian secara ‘willing buyer, willing seller’ tidak dapat dilaksanakan.

“Namun macam saya kata tadi, maafkan Shah Alam (Khalid) sebab memang caranya begitu. Saya pun sudah maafkan dia,” katanya sekali gus mengundang tawa dalam kalangan ahli dewan.

Sumber: Berita Harian