Pelan pembangunan Kampung Baru tidak dapat diteruskan

Kuala Lumpur: Pelan konsep Pembangunan Kampung Baru diketengahkan tahun lalu tidak dapat diteruskan berikutan hanya meraih maklum balas positif 61 peratus daripada keseluruhan pemilik di kawasan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, bagaimanapun pembangunan Kampung Baru akan diteruskan tetapi mengikut pelan berbeza dengan pengagihan 40 parcel dan dimajukan secara organik.

“Selepas kajian dibuat didapati hanya 61 peratus beri respons dalam bentuk positif dan kaedah ini tidak dapat diteruskan.

“Sekarang ini Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Perbadanan Kampung Baru memulakan langkah seterusnya dengan membangunkan pelan induk pembangunan Kampung Baru yang dipecah-pecah kepada 40 parcel dan dibangunkan secara organik parcel ke parcel,” katanya.

Katanya, kerajaan merintis usaha lain untuk membangunkan kawasan ‘segi tiga emas’ di Kuala Lumpur berkenaan supaya menepati prinsip perjanjian jual beli.

KAMPUNG Baru, Kuala Lumpur. FOTO NSTP

“Menerusi kaedah ini, masalah pemilikan tanah dapat dilakukan secara lebih mudah dan parcel tertentu dijangka boleh mula dibangunkan seawal tahun depan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Dungun Wan Hasan Mohd Ramlidi di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Annuar berkata, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan memperuntukkan RM1.5 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dalam usaha menaik taraf prasarana di Kampung Baru.

Sumber: MyMetro