Nilai semula pembangunan Kampung Baru

Foto hiasan

PERBADANAN Kampung Baru (PKB) diminta membuat penilaian selepas tempoh 30 Jun ini sama ada konsep atau idea pembangunan dirancang dapat diteruskan atau sebaliknya.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, faktor seperti kesediaan sumber dana, persetujuan semua pihak terbabit dan konsep yang dicadangkan itu mestilah berdaya maju, haruslah diambil kira.

Menurutnya, PKB tanpa sebarang prejudis perlu melaporkan perkembangan terkini mengenai status Kampung Baru dan selepas itu ia akan dibawa dalam perbincangan bersama jemaah menteri.

“Jika tidak dapat diteruskan, kerajaan akan berunding dengan penduduk di situ untuk pendekatan alternatif lain.

“Ketika ini beberapa alternatif lain sedang difikirkan namun apa yang dapat dipastikan Kampung Baru tetap akan dimajukan dan keutamaannya dengan pemilikan kekal berada di tangan orang Melayu.

“Usaha dan ikhtiar untuk majukan Kampung Baru akan diteruskan, cuma kaedah perlu dimuktamadkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran Kartun ‘Kartunis vs Covid-19 di Rumah Kartun dan Komik Malaysia, Kuala Lumpur hari ini.

Lebih 100 lukisan kartun berkaitan Covid-19 hasil kartunis Malaysia, Indonesia dan Singapura dipamerkan.

Annuar berkata, beberapa bahagian lain di Kampung Baru yang sudah boleh dimajukan perlu diteruskan tanpa perlu menunggu lagi.

“Arahan sudah diberikan kepada PKB. Jika kita tidak dapat buat semua, jangan tinggalkan semuanya sebab Kampung Baru perlu terus untuk dimajukan,” katanya.

Tahun lalu, Khalid Abdul Samad ketika menjawat Menteri Wilayah Persekutuan mengumumkan rancangan untuk membangunkan semula kawasan berkenaan.

Rancangan itu membabitkan pengambilan lot tanah daripada lebih 5,300 pemilik tanah dengan harga RM1,000 untuk satu kaki persegi.

Sumber: myMetro