BUBUR LAMBUK

Saban tahun, Masjid Jamek di Kampung Baru menjadi tumpuan ramai oleh kerana bubur lambuknya yang menjadi idaman wargakota di kala Ramadan menjelma.

Sajian yang menjadi sinonim dengan Kampung Baru ini diedarkan secara percuma selepas Asar setiap hari di bulan puasa. Ribuan orang berpusu-pusu di luar masjid ini untuk memperolehi bungkusan bubur lambuk untuk dijadikan juadah berbuka.

Kadang-kadang barisan bubur lambuk ini boleh melingkari sehingga seluruh perimeter masjid.

Bubur lambuk Kampung Baru ini dihasilkan dengan merenih beras dengan air untuk beberapa jam bersama rempah ratus dan daging. Sajian ini sangat sesuai sebagai juadah berbuka kerana ia berkhasiat, mudah hadam dan sedap rasanya.

Aktiviti memasak bubur ini hanya akan dihentikan sehari sebelum Aidilfitri. Ini kerana segala peralatan dapur seperti periuk belanga perlu dibersihkan sebelum tibanya hari Lebaran ini.

Setiap petang ketika Ramadan, orang ramai akan berkerumun di Masjid Jamek, Kampung Baru untuk mendapat bubur lambuk ini. Tradisi bubur lambuk ini sudah diamalkan lebih daripada separuh abad, dan popularitinya meningkat setiap tahun.

Tradisi bubur lambuk Kampung Baru ini akan kekal selama-lamanya dan tidak luput dimakan arus pemodenan. Mudah-mudahan generasi yang akan datang juga berpeluang untuk menikmati dan menghayatinya kerana amalan ini bukan sahaja menarik tetapi juga merupakan sebahagian daripada sejarah unik kotaraya Kuala Lumpur.