KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah memberi jaminan era pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima arahan pihak atasan tertentu untuk membuat keputusan sudah berakhir.

Menterinya, Khalid Samad, berkata kini pegawai DBKL boleh melaksanakan tugas dengan profesional tanpa arahan pihak atasan.

Katanya, sebelum ini, ada arahan daripada pihak atasan yang memaksa DBKL menangani masalah tertentu dengan cara yang tidak sepatutnya hingga menyebabkan PBT itu terpalit dengan imej penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa.

Antara arahan itu, katanya, membabitkan kontroversi penjualan 64 lot tanah milik DBKL antara 2014 hingga 2018 dianggarkan bernilai RM4.28 bilion, yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Contohnya adalah penjualan tanah yang berlaku tanpa mengikut prosedur, serta projek yang asalnya tiada dalam bajet, tapi digunakan Bajet 2019 untuk 2018.

“DBKL selaku institusi profesional tidak mahu melakukannya, tetapi disebabkan keluar arahan, maka mereka terpaksa akur.

“Namun, ini era baharu bagi DBKL yang mana semua persoalan akan ditangani secara profesional, serta tiada toleransi terhadap apa jua salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah,” katanya pada sidang media di Menara DBKL di sini, hari ini.

Khalid berkata beliau tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam isu berkenaan dan menyerahkan kepada penilaian orang ramai.

Katanya, hasil perbincangan ramai pegawai DBKL yang lega kerana dapat melaksanakan tugas secara profesional tanpa campur tangan pihak tertentu yang bercanggah dengan pengurusan.

Mengenai isu penjualan 64 lot tanah DBKL, Khalid berkata semuanya membabitkan arahan daripada atas, namun menyerahkan kes kepada SPRM untuk menjalankan siasatan, selain meminta warga DBKL memberi kerjasama penuh serta berkongsi maklumat jika diminta berbuat demikian.

Terdahulu, beliau meluangkan masa kira-kira empat jam melawat DBKL dan menghadiri taklimat bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur serta pimpinan tertinggi PBT itu

Dalam perkembangan lain, Khalid juga berkata DBKL mungkin berdepan implikasi undang-undang jika Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 diwartakan segera.

Katanya, ia berikutan terdapat beberapa pembangunan yang sudah berjalan ketika ini, bertentangan dengan pelan terbabit, sekali gus bakal menimbulkan implikasi tertentu jika ia diwartakan.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan pelan struktur yang sudah mendapat kelulusan Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini sejak Ogos 2004, perlu dikaji semula atau diperbaharui bagi mengelakkan implikasi negatif pada DBKL.

Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 dilancarkan pada Mei 2008 dan dijadual untuk diwartakan pada 1 Julai 2012, namun ia ditangguhkan dan sehingga kini draf pelan tersebut belum diwartakan.

Sumber: Berita Harian