Flet RM130,000 jadi kondominium RM1 juta

Pemilik rumah pangsa dapat ganti rugi dalam pembangunan semula kawasan

Kuala Lumpur

S264 pemilik rumah pangsa di situ yang mempunyai kediaman asal dengan keluasan antara 571 hingga 603 kaki persegi.

Bakinya, seramai 80 pemilik yang mempunyai rumah saiz lebih kecil (441 kaki persegi) pula bakal menerima kediaman baharu bernilai RM823,650 seunit.

Kampung Sungai Baru seluas 13.18 ekar (5.3 hektar) yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada awal 1970an itu turut menempatkan 96 unit rumah teres setingkat.

3 unit kondominium

Pemilik rumah teres di tapak seluas 1,518 kaki persegi itu pula ditawarkan dengan tiga unit kondominium, serta pampasan tunai RM109,650 bagi nilai tanah lebih 129 kaki persegi daripada jumlah asal.

Tiga unit kondominium ganti itu dianggarkan bernilai RM2.4 juta apabila projek siap.

Ketika ini, pemaju projek pembangunan Kampung Sungai Baru, Ritzy Gloss Sdn Bhd (Ritzy Gloss) sudah mendapat persetujuan 64 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di situ.

Pengarah Ritzy Gloss, Abdul Hadi Ahmad, berkata pihaknya sudah memulakan rundingan dengan penduduk dan menjangkakan akan mendapat persetujuan lebih 80 peratus menjelang akhir tahun ini.

“Semua pemilik rumah di sini diberi keutamaan mendapatkan kondominium sendiri dan selebihnya akan dijual kepada orang ramai.

“Bagi pemilik yang sudah menandatangani perjanjian persetujuan, mereka diberi pilihan untuk menetap di rumah transit Residensi Kerinchi atau KL Gate Way, secara percuma sehingga projek di Sungai Baru siap,” katanya.

Katanya pemilik rumah pangsa bersaiz 441 kaki persegi akan menerima kondominium ganti seluas 969 kaki persegi serta satu unit tempat letak kenderaan.

Pemilik rumah bersaiz 571 dan 603 kaki persegi pula ditawarkan kondominium 1,200 kaki persegi serta seunit tempat letak kenderaan, manakala pemilik teres menerima tiga unit kondominium saiz 969 kaki persegi.

Koperasi khas bantu penduduk

Bagi memastikan pemilik kondominium tidak dibebani dengan kos penyelenggaraan, pemaju bersetuju membantu persatuan penduduk menubuhkan koperasi dengan semua ahlinya adalah pemilik asal hartanah.

secara eksklusif sebelum ini melaporkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) sedang merangka membangunkan tanah seluas 300 ekar (120 hektar) di kampung tradisi berkenaan.

Tumpuan utama kerajaan ialah membangunkan tanah seluas 220 ekar (88 hekar) di pentadbiran Lembaga Tanah Pertanian Melayu (MAS), manakala bakinya sebanyak 80 ekar (32 hektar) berada di luar bidang kuasa MAS.

Kampung Sungai Baru adalah antara tiga kampung yang berada di luar MAS, termasuk Kampung Padang dan Flet 17 Tingkat.

Kedudukannya agak strategik kerana berhampiran dengan stesen LRT serta Saloma Link yang menghubungkan Kampung Baru dengan KLCC.

Sumber: Berita Harian