Hanya 61% setuju tawaran harga tanah Kg Baru, kata menteri

Annuar Musa mengarahkan sebuah jawatankuasa khas terdiri daripada golongan profesional ditubuhkan untuk meneliti hal perundangan, perancangan dan pelan pembangunan Kampung Baru bagi menangani permasalahan rumit yang timbul.

PETALING JAYA: Kerajaan belum membuat keputusan muktamad berhubung pelan dan pihak yang akan membangunkan Kampung Baru kerana hanya 61% pemilik tanah bersetuju dengan harga ditawarkan Putrajaya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa berkata, beliau dimaklumkan pegawai Perbadanan Pembangunan Kampung Baru dalam mesyuarat hari ini yang mencadangkan kos pembangunan kawasan itu kira-kira RM7 bilion.

“Setakat ini tidak ada peruntukan dana yang sangat besar untuk beli semua (tanah) sekali.

“Kalau pun setuju, semua sekali itu perlu RM7 bilion buat masa ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sehubungan itu, Annuar mengarahkan sebuah jawatankuasa khas terdiri daripada golongan profesional ditubuhkan untuk meneliti hal perundangan, perancangan dan pelan pembangunan Kampung Baru bagi menangani permasalahan rumit yang timbul.

Annuar Musa

Katanya, beliau akan mendengar maklum balas jawatankuasa khas itu sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi.

Pada 12 Jan lalu, Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Khalid Samad dilaporkan berkata, kementeriannya optimis Pelan Pembangunan Kampung Baru dapat dimuktamadkan Jun ini kerana Perbadanan Pembangunan Kampung Baru sedang membincangkan isu berbangkit dengan pemilik tanah secara berkumpulan.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan harga tawaran baru pembelian tanah Kampung Baru bernilai RM1,000 setiap 1 kaki persegi berbanding RM850 terdahulu.

Bersandarkan harga baru itu, RM850 ditawarkan secara pulangan tunai, manakala baki RM150 berbentuk pegangan saham dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak.

Sementara itu, Annuar berkata, 549 gelandangan ditempatkan di pusat transit, komuniti dan dewan serbaguna sekitar ibu kota sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Katanya, jumlah itu termasuk 71 warga asing yang diasingkan atas tujuan kebersihan dan keselamatan.

Beliau berkata, gelandangan itu diberikan makanan mencukupi 4 kali sehari, tetapi timbul masalah berhubung pakaian kerana kebanyakan mereka datang sehelai sepinggang.

Oleh itu, beliau mengalu-alukan sumbangan pakaian daripada NGO dan pihak lain.

Sumber: freemalaysiatoday