Henti letak harga tanah rizab Melayu di bawah pasaran

KUALA LUMPUR: Tindakan membezakan nilai tanah dengan meletakkan harga rizab Melayu pada nilai yang terlalu rendah berbanding pasaran adalah tidak adil kepada kaum Melayu dan perlu dihentikan.

Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Amirhamzah Karim berkata, tawaran kerajaan sebanyak RM850 sekaki persegi untuk membeli tanah Kampung Baru menimbulkan persoalan kerana nilai semasa tanah itu jauh lebih tinggi melebihi RM2,000 sekaki persegi.

Bahkan, katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya sedar nilai semasa tanah Kampung Baru itu melebihi RM2,000 berdasarkan penilaian tanah yang dijanjikan PH kepada penduduk Kampung Baru ketika kempen pilihan raya tahun lalu.

“Jurangnya masih terlalu jauh dan kenapa
kaedah menjual beli tanah Melayu ini masih berlaku
sedangkan tanah rizab Melayu yang dijual sebelum ini tidak diganti menyebabkan rizab Melayu terus menyusut.

“Bila ada orang mahu beli rizab Melayu selalunya nilai tanah dia jatuh.

“Kenapa? Sedangkan nilainya boleh mencecah nilai pasaran, namun zaman sekarang masih ada sikap mengatakan tanah rizab Melayu mesti bawah harga pasaran, ini sikap tidak adil.

“Tindakan itu mencetuskan kebimbangan kemungkinan tanah berpotensi tinggi milik orang Melayu dibeli pada harga yang terlalu murah kemudian dijual kepada pihak ketiga pada harga yang tinggi.

“Maka siapa sebenarnya yang menerima manfaat kerana tanah Melayu tetap tergadai,” katanya di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan alternatif memajak tanah rizab Melayu di Kampung Baru bagi menjamin warisan tanah itu dalam pemilikan kaum asal seperti mana diamalkan negara maju termasuk Singapura.

Katanya, kaedah pajak itu dianggap lebih tepat kerana kerajaan boleh memajak tanah berkenaan daripada pemilik tanah selama 60 tahun dibangunkan dengan dan oleh siapa pun serta kemudian selepas 60 tahun dikembalikan untuk terus dipajak supaya kekal dalam rizab Melayu.

“Jika ikutkan perjuangan DPMM, perkara ini sepatutnya tidak berlaku selepas kerajaan sekarang ini bertukar, baharulah sejajar dengan manifesto Pakatan Harapan mengekalkan kepunyaan orang Melayu,” katanya.

Sumber: Harian Metro