KUALA LUMPUR – Kadar tawaran harga yang kurang dipersetujui pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru akan dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, secara keseluruhan sesi Town Hall Pembangunan Kampung Baru yang dijalankan di Dewan Perdana Felda yang dihadiri oleh 2,500 pihak terlibat menerima reaksi positif.

Menurutnya, kadar tawaran harga ditetapkan adalah mengikut prosedur dengan kadar tertinggi RM850 satu kaki persegi yang dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“Secara umum, perbincangan hari ini agak positif dan kebanyakan bersetuju dengan pembangunan, cuma tawaran harga yang menjadi pertikaian.

“Harga tawaran ini adalah dengan memastikan projek ini mampu berjalan, kalau beli harga mahal, akhirnya kita kena jual dengan harga yang mahal sedangkan hartanah yang mahu dibina mahu kekal milik orang Melayu,” katanya pada sesi Town Hall di Dewan Perdana Felda hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Khalid berkata, langkah itu mengambil kepentingan semua pihak dan berharap pemilik tanah turut memikirkan masa depan hartanah Melayu.

“Kalau boleh pemilik dan pewaris biarlah ada tanggungjawab mencambah hartanah Melayu di kawasan Kuala Lumpur sama seperti pemilik asal yang menduduki kampung Melayu itu suatu ketika dahulu.

“Jika penubuhan Kampung Baru tak wujud dari awal, mereka pun tak jadi pemilik. Sepatutnya konsep itu dipegang, biarlah harganya munasabah, beli dengan harga berpatutan dan jual dengan harga mampu dimiliki oleh orang Melayu,” katanya.

Katanya, beliau beri jaminan langkah kerajaan itu tidak merugikan pemilik tanah itu pada masa akan datang memandangkan pasaran hartanah yang sentiasa naik dari semasa ke semasa.

“Jika mereka jual dan kemudian beli dengan hartanah dengan harga baru, mereka masih untung. Beli dengan harga RM300,000 untuk rumah mampu milik maka untuk tempoh 10 tahun akan datang harganya akan naik,” katanya.

Beliau berkata, meskipun berdepan halangan namun kerajaan tidak berhasrat untuk mengambil tindakan perundangan dalam proses pengambilan tanah Kampung Baru.

“Sekiranya ada penduduk yang tidak bersetuju juga, kami akan mencari jalan penyelesaian lain seperti menempatkan mereka di tanah yang lain yang ada di situ juga.

“Kita berharap perkara ini semua akan selesai selewat-lewatnya pada hujung tahun ini atau Februari depan. Jika tiada masalah kita akan teruskan dengan proses surat perjanjian jual beli (S&P) pada September depan,” katanya.

Khalid mengumumkan tawaran harga RM850 kaki persegi atau atau RM6 juta bagi lot 8,000 kaki persegi untuk pembangunan semula atas keluasan tanah dicadangkan seluas 62 hektar.

Sumber: Sinar Harian