Jangan sampai nama Kampung Baru hilang!

SHAH ALAM – Identiti tanah rizab Melayu di Kampung Baru tidak akan hilang sekiranya ia dibeli dan dibangunkan kerajaan Persekutuan.

Penganalisis Ekonomi, Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, beliau menyambut baik usaha kerajaan Persekutuan mencari jalan bagi membeli tanah sedia ada di Kampung Baru untuk tujuan penempatan Melayu di Kuala Lumpur.

“Langkah kerajaan untuk menyelesaikan status tergantung isu Kampung Baru ini memang bagus. Tapi pastikan jangan sampai nama Kampung Baru hilang, ia harus dikekalkan.

“Bagi mengekalkan Kampung Baru sebagai tanah rizab Melayu, kerajaan kena buat keputusan sebab jika tanah itu dibeli pemaju dari luar negara mungkin kita tak ada peluang lagi untuk kekalkan identiti Melayu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut beliau, isu penempatan moden dan bersepadu masyarakat Melayu di tengah bandaraya Kuala Lumpur ini harus segera diselesaikan.

“Namun kerajaan patut memikirkan kewangan negara memandangkan kos membeli keseluruhan tanah seluas 100 hektar ini dianggarkan menelan kos RM10 bilion.

“Kerajaan juga perlu bersedia berdepan reaksi daripada pemilik dan pewaris tanah di situ yang mungkin mahu pampasan dalam bentuk saham, rumah atau kedai. Tapi saya yakin dengan rundingan berhemah masalah ini dapat diselesaikan,” ujarnya.

Kelmarin, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, kerajaan memerlukan dana RM10 bilion jika berhasrat membeli tanah Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi penempatan moden dan sistematik orang Melayu di tengah ibu negara.

Khalid berkata, dana sebanyak itu diperlukan untuk membolehkan kementerian membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok atau ‘runcit’ oleh pemilik tanah bersama pemaju.

Bagaimanapun katanya, dana RM10 bilion diperlukan dengan syarat seluruh pemilik tanah di Kampung Baru bersetuju menerima tunai sebagai rundingan pengambilalihan tanah milik mereka untuk dibangunkan pemaju yang akan dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sumber: Sinar Harian