Kampung Baru: PKB diminta sediakan laporan – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 26 Jun — Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) telah diminta menyediakan laporan sama ada tawaran atau idea yang dikemukakan sebelum ini untuk memajukan Kampung Baru boleh diteruskan atau tidak.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata sejurus mendapat laporan berkenaan beliau akan memaklumkan kepada jemaah menteri bagi membolehkan tindakan susulan dilakukan.

“Sekiranya selepas itu atas apa juga sebab tidak dapat diteruskan, maka kerajaan akan cuba berunding lagi dengan penduduk untuk satu pendekatan alternatif yang akan diperkenalkan.

“Saya sedang buat tinjauan tentang beberapa alternatif yang pastinya kita mahu Kampung Baru tetap dimajukan, keutamaan saya adalah ia dimajukan dengan pemilikan mesti kekal berada di tangan orang Melayu,” katanya ketika ditanya mengenai pembangunan terkini Kampung Baru.

Beliau ditemui selepas merasmikan pameran Kartunis VS COVID-19 di Rumah Kartun dan Komik Malaysia serta menyampaikan Anugerah Tokoh Kartunis 2020 kepada Ahmad Hilmy Abdullah, 59, atau lebih dikenali sebagai Mie atas sumbangan dan kecemerlangan dalam bidang kartun dan komik negara.

Tambah Annuar, laporan berkenaan harus disediakan secara objektif kerana beliau enggan mewujudkan salah faham dan isu berkenaan dipolitikkan.

“Saya mahu PKB buat penilaian setelah cukup 30 Jun akan datang mereka perlu buat satu perakuan sama ada idea dan konsep yang dicadangkan dahulu boleh dilaksanakan ataupun tidak.

“…yang pertama dari sudut persetujuan, kedua dari sudut kesediaan dana nak beli, katakan 100 peratus setuju adakah kita ada sumber dana kalau tidak ada sumber dana kalau bersetuju pun tak ada maknanya dan ketiga adakah konsep yang dicadangkan itu realistik,” jelasnya.

Sementara itu, Annuar berkata KL Sentral, Lake Garden, Taman Botani, Taman Warisan dan Taman Tugu akan dinaik taraf untuk menjadikannya kawasan rekreasi utama.

“Naik taraf Taman Tugu dengan kerjasama Khazanah yang membelanjakan lebih RM100 juta untuk jadikan ia sebagai pusat rekreasi taman dalam bandar sudah hampir siap kerja-kerja utamanya.

“Kemudian di Lake Garden ini kami merancang untuk menyambung ke Muzium Negara terus ke KL Sentral. KL Sentral akan dinaikkan taraf sebagai satu hab lebih besar dan kami harap dapat bina satu jejantas dari KL Sentral supaya pengguna berbasikal dapat bergerak terus ke Muzium Negara dan guna kemudahan di Lake Garden ke Botanical Garden seterusnya ke Taman Tugu,” katanya.

Sumber: Bernama