Kempen kumpulan kecil untuk penduduk Kampung Baru

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) sedang melakukan kempen dalam kumpulan kecil bagi meyakinkan penduduk Kampung Baru, Kuala Lumpur berhubung usaha kerajaan untuk melakukan pembangunan di kawasan berkenaan.

Kempen secara kumpulan kecil-kecilan sedang dilakukan oleh Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB).

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, usaha itu akan dijalankan sehingga Jun tahun depan berikutan timbul banyak kekeliruan disebabkan penularan mesej tidak benar di media sosial.

“Masalah kita adalah sosial media ini yang ‘tembak’ ikut suka. Pelbagai tuduhan sekali gus membuatkan orang ramai keliru.

“Kononnya kita nak halau Melayu jadi mereka perlu mempertahankan tanah itu sedangkan kedudukan Melayu di kawasan itu tidak akan terjejas. Apabila kawasan itu dibangunkan ia akan dijual kepada Melayu juga kerana syarat tanah itu tetapi orang tidak faham.

“Jadi itu yang kita akan bincang bersama mereka yang belum menyerah borang iaitu dalam 60 peratus. Saya tidak kisah jika yang tolak atas alasan tersendiri tetapi bukan sebab dipengaruhi fahaman yang salah,” katanya ketika ditemui media selepas beliau menyerahkan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kuala Lumpur, hari ini.

PEMANDANGAN Kampung Baru. FOTO arkib NSTP

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran.

Terdahulu, Khalid bertemu 15 keluarga mangsa kebakaran yang berlaku di Kampung Kovil Hilir Sentul yang ditempatkan secara sementara di Pusat Pemindahan, Dewan Komuniti Sentul Perdana sejak 20 Disember lalu.

Menurut Khalid, KWP memberi sumbangan kepada mangsa kebakaran dengan menawarkan penempatan selama enam bulan di Perumahan Awam (PA) atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membantu mangsa memulakan kehidupan baru.

“Sebanyak 13 keluarga layak untuk ditawarkan penempatan di PA atau PPR dan menerima surat tawaran hari ini.

“Selain itu, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) turut memberi sumbangan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM500 bagi mangsa yang berkeluarga manakala RM300 untuk mangsa bujang.

“Bantuan persekolahan juga turut diberikan berbentul voucher bernilai RM120. Malah KWP dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada pagi ini juga membuka kaunter untuk membantu mangsa untuk mendapatkan pengenalan kad baru,” katanya.

Sumber: MyMetro