Kerajaan teruskan usaha majukan Kampung Baru

MGF26062020_TAN-SERI-ANUAR-MUSA-MERASMIKAN-KARUNIS-VS-COVID19_14-681x454
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Seri Annuar Musa, ketika hadir bagi merasmikan Kartun “Kartunis VS Covid-19” di Rumah Kartun dan Komik Malaysia, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 26 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tetap meneruskan usaha untuk memajukan kawasan Kampung Baru menerusi pelbagai kaedah.

Bagaimanapun, laporan lengkap mengenai perkembangan terkini berhubung rancangan pembangunan di kawasan tersebut sebelum ini perlu diteliti terlebih dahulu bagi mengelakkan salah faham atau isu dipolitikkan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa

“Saya secara jujur nak katakan bahawa untuk kampung baru saya ingin pastikan satu laporan atau satu perkembangan, tentang rancangan dibuat sebelum daripada ini supaya, tidak timbul sebarang, salah fahan atau isu itu dipolitikkan.

“Saya telah meminta semalam kepada Perbadanan Kampung Baru (PKB) untuk menyediakan satu laporan perkembangan kepada apa-apa yang dirancang sebelum daripada ini, dan supaya mereka membuat suatu perakuan apakah idea-idea yang diuar-uarkan sebelum daripada ini, boleh diteruskan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pameran kartun di Taman Botani Perdana, di sini hari ini.

Menurut Annuar, beliau menghormati sebarang perkara yang dirancang untuk dilakukan di Kampung Baru namun, laporan dan objektif rancangan tersebut perlu dinilai sama ada ia boleh diteruskan ataupun tidak.

“Misalnya tawaran untuk membeli tanah penduduk Kampung Baru dengan harga RM1,000 satu kaki persegi yang saya dilaporkan hanya 61 peratus sahaja setuju.

“Kalau hanya 61 peratus setuju apakah idea itu boleh diteruskan, kerana dalam prinsip membeli secara sukarela antara pembeli yang bersedia, dan pemaju 100 peratus kena setuju. Kalau satu daripada keluarga tak setuju, proses menjual beli tak dapat dilakukan,” ujarnya.

Menurut Annuar lagi, PKB perlu menghantar penilaian yang dibuat kepadanya pada 30 Jun ini sebelum dimaklumkan kepada jemaah menteri untuk tindakan selanjutnya.

MGF26062020_TAN-SERI-ANUAR-MUSA-MERASMIKAN-KARUNIS-VS-COVID19_8
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Seri Annuar Musa

Ujarnya, sekiranya ada perkara yang tidak dapat diputus untuk diteruskan ia akan dibawa berunding dengan penduduk Kampung Baru bagi mendapatkan penyelesaian alternatif.

“Saya sedang buat tinjauan tentang beberapa alternatif, yang pasti kita mahu Kampung Baru tetap maju dan keutamaan saya ia dimajukan dengan pemilikan kekal berada di tangan orang Melayu.

“Jadi usaha iktiar majukan kampung baru akan diteruskan, kaedah perlu dimuktamadkan,” tambahnya.

Sumber: MalaysiaGazette