KRONOLOGI PENUBUHAN KAMPONG BHARU

Latar Belakang Kampong Bharu

Kampong Bharu telah diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900 melalui rizab Malay Agricultural Settlement (M.A.S) di bawah Seksyen 6 Enakmen Tanah 1897 yang dikawal melalui kaedah untuk penghunian dan pengurusan M.A.S (Selangor Gazette No. 21/1900).

Kawasan rizab ini seterusnya diurus tadbir oleh entiti yang dikenali sebagai Lembaga Pentadbiran Kawasan Penempatan Pertanian Melayu (Malay Agricultural Settlement – M.A.S). Seterusnya, pada tahun 1965 pihak Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju memberikan 838 hakmilik tanah kepada penghuni di kawasan ini.

Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) ditubuhkan melalui peruntukan Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 [Akta 733] yang berperanan sebagai agensi penyelaras dalam pembangunan semula Kampong Bharu. PKB telah memulakan operasi secara rasmi pada Julai 2012.

Maklumat Demografi

Kawasan pentadbiran Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) merangkumi kawasan M.A.S dan kawasan luar M.A.S. Jumlah keseluruhan lot adalah sebanyak 1,353 dengan keluasan tanah 300.73 ekar (121.70 hektar). Bilangan pemilik tanah berdaftar yang direkodkan adalah seramai 6,971 orang.

Kawasan pentadbiran PKB disempadani oleh Jalan Raja Muda Abdul Aziz di bahagian utara, Jalan Tun Razak di bahagian timur, Jalan Tuanku Abdul Rahman di bahagian barat dan Jalan Sultan Ismail serta Lebuh Raya AKLEH di bahagian selatan.

Kawasan M.A.S terdiri daripada 879 lot dengan keluasan 219.91 ekar (88.99 hektar). Pemilik tanah berdaftar yang direkodkan adalah 5,359 orang (76.88%). Kawasan ini menempatkan 7 buah kampung/lokasi seperti berikut:

  • Kampung Pindah
  • Kampung Hujung Pasir
  • Kampung Periok
  • Kampung Atas A
  • Kampung Atas B
  • Kampung Masjid
  • Kampung Paya

Manakala kawasan luar M.A.S terdiri daripada 474 lot dengan keluasan 80.82 ekar (32.71 hektar). Pemilik tanah berdaftar yang direkodkan adalah 1,612 orang (23.12%). Kawasan ini menempatkan 4 buah kampung/lokasi seperti berikut:

  • Perumahan Sungai Baru
  • Kampung Padang
  • Kawasan Raja Bot (Chow Kit)
  • Pasar Minggu