Nilai satu lot tanah Kampung Baru sama 20 rumah mampu milik

KUALA LUMPUR: Anggaran nilai satu lot tanah Kampung Baru yang akan dibeli kerajaan, dijangka membolehkan pemiliknya membeli kira-kira 20 unit rumah mampu milik berharga RM300,000 setiap unit.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata tawaran lumayan itu seiring matlamat kerajaan untuk memastikan orang Melayu di Kampung Baru merasai kekayaan ‘terpendam’ di kawasan itu.

“Ada orang kata bila penduduk jual tanah, maka hilang harta mereka. Itu sebenarnya terpulang pada pemilik tanah itu sendiri.

“Ini kerana ikut anggaran kita, nilai satu lot tanah yang kerajaan beli cukup untuk pemilik asal tanah membeli semula 20 unit rumah mampu milik.

“Jadi jika satu lot tanah itu asalnya ada satu keluarga orang Melayu, ia akan bertambah jadi 20 keluarga Melayu atas satu lot tanah jika mereka beli hartanah yang dibangunkan semula itu,” katanya kepada pemberita pada majlis Pra Pelancaran Sesi Town Hall Menteri Wilayah Persekutuan Bersama Pemilik Tanah Kampung Baru di sini, hari ini.

Sebelum ini, BH melaporkan kerajaan bakal mengemukakan tawaran harga menarik untuk membeli tanah milik penduduk di Kampung Baru dalam satu pertemuan pada 21 September ini, yang kemudian disahkan Khalid.

Beliau sebelum ini turut dilaporkan berkata, kerajaan memerlukan antara RM6 bilion hingga RM10 bilion bagi membeli tanah Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi penempatan Melayu moden di tengah ibu negara.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, pembangunan semula itu akan membabitkan lebih 5,000 pemilik di atas lebih 800 lot tanah seluas kira-kira 81 hektar yang diwartakan sebagai kawasan Malay Agricultural Settlement (MAS).

Mengenai harga yang bakal ditawarkan, Khalid memberi jaminan ia tinggi mengikut nilai pasaran semasa, namun ia tidak setinggi dengan harga hartanah di kawasan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) atau Tun Razak Exchange (TRX).

Katanya, ia berikutan tanah di Kampung Baru sudah dihadkan hanya boleh dibeli semula oleh orang Melayu, sekali gus nilai tidak setinggi hartanah bebas.

“Kita tak boleh nak dua-dua, iaitu nak kekalkan Kampung Baru kepada orang Melayu tapi pada masa sama nak harga seperti pasaran bebas. Ini tak bolehlah.

“Kita nak kekalkan orang Melayu dalam kawasan ‘segi tiga emas’ ini, namun nilai yang ditawarkan tetap tinggi, tak tipu penduduk kononnya beli daripada mereka murah kemudian jual semula mahal,” katanya.

Khalid turut menegaskan pembangunan semula Kampung Baru tidak akan lari daripada matlamat asal kewujudan penempatan itu, iaitu untuk menambah jumlah orang Melayu di kawasan bandar.

Katanya, pembangunan semula akan meningkatkan kadar kepadatan penduduk di Kampung Baru yang kini sekitar 90 hingga 100 orang seekar, supaya setanding kawasan sekitarnya yang kadar kepadatannya mencecah antara 400 hingga 1,000 orang seekar.

“Jika nak kekalkan matlamat asal itu, kena bangunkan juga Kampung Baru supaya jumlah orang Melayu di sini bertambah setanding kawasan sekitarnya.

“Maknanya matlamat pembangunan bukanlah seperti tohmahan pihak tertentu, kononnya nak halau orang Melayu keluar dari Kampung Baru, sebaliknya nak tambah jumlah orang Melayu dalam Kuala Lumpur dan dipusatkan di kampung ini,” katanya.

Berhubung rancangan pembangunan semula itu, Khalid berkata, ia akan dibangunkan mengikut beberapa zon tertentu, seperti zon perniagaan, tradisional, kebudayaan dan kawasan hijau.

“Kita anggarkan sejumlah 45,000 unit kediaman yang hanya boleh dibeli orang Melayu dapat disediakan dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun, berbanding hanya 3,000 hingga 3,500 unit ketika ini.

“Luas lantai perniagaan juga akan ditambah daripada 1 juta kaki persegi sekarang, kepada tujuh hingga lapan juta kaki persegi. Ertinya, ruang perniagaan orang Melayu bertambah,” katanya.

Khalid berkata, maklumat lebih terperinci akan disampaikan kepada pemilik tanah dalam pertemuan pada 21 September depan di Dewan Perdana FELDA di Jalan Maktab, di sini.

Sumber: Berita Harian