Pajak tanah Kg Baru, kekal status rizab Melayu, DPMM syor kerajaan

PETALING JAYA: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berkata kerajaan perlu mempertimbang konsep memajak tanah Kampung Baru daripada pemilik masing-masing daripada membelinya di bawah harga pasaran.

Setiausaha agungnya, Amirhamzah Karim berkata paras yang ditawarkan sekarang amat jauh berbeza berbanding harga pasaran.

“Nilai semasa tanah itu ialah RM2,000 satu kaki persegi, dan kerajaan menawarkan untuk membeli pada RM850 satu kaki persegi. Amat jauh perbezaannya.

“Sebagai contoh, kerajaan boleh, memajak tanah itu selama 60 tahun dan membangunkannya,” kata beliau, lapor Bernama sambil menambah, dengan berbuat demikian tanah itu kekal sebagai tanah rizab Melayu.

Beliau juga berkata DPMM percaya tiada keperluan untuk menjual tanah itu.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata beliau akan membawa perkara itu ke mesyuarat Kabinet esok, di mana mereka akan membincangkan kadar harga yang ditawarkan kepada dermawan dan pemilik tanah Kampung Baru.

Katanya, beliau akan membawa perkara itu kepada Kabinet dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, untuk mencari jalan penyelesaian terbaik buat semua pihak.

“(Bincang) Lusa, masa di (mesyuarat) Kabinet, kalau dapat ruang saya akan maklumkan Dr Mahathir dan daripada situ kita akan fikir satu cara (penyelesaian).

“Kita faham memang semua nak harga yang lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan, (tetapi) apa yang kita kena buat ialah kita perlu cari satu harga yang munasabah yang memungkinkan projek ini menjadi berdaya maju,” katanya.

Sabtu lepas Khalid dipetik sebagai berkata kerajaan menawarkan kadar RM850 sekaki persegi sebagai pulangan kepada pemilik dan pewaris bagi pembangunan semula Kampung Baru.

Menurut Khalid ia merupakan kadar tertinggi dinilai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu sahaja.

Khalid memberitahu FMT beliau sedia mengkaji permohonan pemilik tanah Kampung Baru yang mahu tawaran pembelian dibuat pada harga minimum RM1,000 satu kaki persegi.

Khalid berkata pihaknya akan mengkaji sama ada harga yang dicadangkan itu berpatutan dan kebolehlaksanaan projek pembangunan Kampung Baru masih kekal.

Sumber: free malaysia today