Pakar pertikai kadar nilai tanah Kg Baru ditawar kerajaan

PETALING JAYA: Seorang pakar pihak berkuasa tempatan dan undang-undang perancangan bandar menggesa Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menghasilkan satu pelan tindakan kawasan khas bagi memastikan pemilik tanah mendapat harga yang adil bagi tanah mereka.

Derek Fernandez memberitahu FMT RM850 satu kaki persegi yang ditawarkan Menteri Khalid Samad kepada pemilik tanah adalah tidak adil kerana mereka tidak tahu perincian jenis pembangunan, nisbah plot dan kepadatan penduduk yang dibenarkan bagi kawasan itu.

Ini kerana DBKL hanya mendraf rancangan yang belum melalui proses awam dan boleh dipinda, yang akan memberi kesan pada nisbah ratio dan kepadatan.

“Khalid berkata nilai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta menilaikan tanah itu sekitar RM650 satu kaki persegi kepada RM850 satu kaki persegi.

“Salinan laporan penilaian sebenar dan bidang tegas bagi penilaian itu mesti diberi kepada pemilik tanah,” katanya, menegaskan ia penting dilakukan.

Beliau berkata mustahil pemilik tanah dapat memastikan nilai sebenar tanah tanpa mengetahui pembangunan apa yang dibenarkan pihak berkuasa di situ.

“Contohnya, jika kamu memiliki separuh ekar plot tanah dan kamu hanya dibenarkan membina banglo dua tingkat di atas tanah itu, nilai tanah itu tidak setinggi separuh ekar tanah yang di atasnya dibina bangunan kediaman 20 tingkat.

“Jika kamu dibenarkan untuk membina bangunan perdagangan 50 tingkat, perbezaannya akan jadi lebih besar,” tambahnya.

Beliau berkata adalah penting suatu rancangan yang jelas diluluskan selepas melalui proses pendengaran awam, termasuk perincian mengenai luas lantai yang boleh dimajukan dan boleh dijual.

“Tidak patut sekiranya pemilik tanah dibayar pada nilai berdasarkan tanah banglo dua tingkat sedangkan satu bangunan 50 tingkat mungkin akan dibina di situ.”

Beliau menambah tidak adil juga sekiranya pemilik tanah membuat penilaian berdasarkan draf yang mungkin akan diubah nanti.

Beliau berkata perkara ini menjelaskan perbezaan penilaian tanah sekitar Kampung Baru, seperti tanah di KLCC yang menurut beberapa laporan bernilai RM3,000 satu kaki persegi.

Jika penilaian berdasarkan purata nisbah plot 1:10, menurut Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 (PBKL) atau draf pelan kawasan khas, penilaian yang ditawarkan Khalid itu “amat rendah”, katanya.

Fernandez berkata nilai sekeping tanah yang dirancang untuk pembangunan semula haruslah antara 15% dan 20% daripada nilai pembangunan kasar, yang dilaporkan sekitar RM50 bilion hingga RM60 bilion.

“Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL perlu menghasilkan satu pelan tindakan kawasan khas dan membenarkan semua pemilik tanah Kampung Baru menyertainya dan menyuarakan apa yang mereka bayangkan untuk pembangunan semula itu,” katanya.

Beliau menambah pemilik tanah juga harus dibenarkan untuk menyerahkan penilaian bebas.

Sekiranya kerajaan berhasrat untuk menggunakan PBKL sebagai asas, di mana pembangunan guna campur dengan purata nisbah plot 1:10 dibenarkan, penilaiannya akan lebih tinggi daripada RM850, katanya.

Beliau berkata perkara ini penting memandangkan Kampung Baru mempunyai nilai warisan yang bermakna serta ikatan budaya dan sosial bagi masyarakat Melayu.

Khalid berdepan tekanan atas penilaian RM850 satu kaki persegi itu, tetapi berkata kerajaan sedia mengkaji permintaan pemilik tanah yang mencadangkan harga minimum RM1,000 satu kaki persegi.

Terdapat kira-kira 5,374 pemilik tanah bagi 846 plot tanah di Kampung Baru.

Sumber: free malaysia today