Penduduk Melayu di Kampung Baru akan bertambah

SHAH ALAM: Jumlah penduduk Melayu di Kampung Baru dijangka meningkat sekiranya kawasan itu dibangunkan, sekali gus mengimbangi nisbah kaum yang menetap di pusat bandar.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata jika sebelum ini jumlah rumah di Kampung Baru kira-kira 35,000, selepas dibangunkan nanti dijangka meningkat sehingga 45,000 rumah.

“Sekiranya Kampung Baru dibangunkan, lebih ramai orang Melayu boleh duduk dan jumlah itu akan seiring dengan penduduk di kawasan lain.

“Itulah antara matlamat paling penting dalam pembangunan Kampung Baru yang kita sedang usahakan,” katanya pada wacana bertajuk ‘Kampung Baru: Kekal Atau Dibangunkan’, di sini, hari ini.

Katanya lagi, semua pihak perlu terus memandang ke hadapan dan jangan mengharapkan tawaran harga lebih tinggi, sebaliknya memberi perhatian kepada tawaran yang serius.

“Saya lihat ramai (pemaju) yang tawar harga luar biasa tetapi tidak beli. Saya boleh tawarkan dengan harga RM10,000 bagi satu kaki persegi, tapi saya tidak mahu beli.

“Namun, bagi penduduk Kampung Baru, kita beri tawaran serius untuk menyelesaikan masalah penduduk dan semua pihak mendapat manfaat,” katanya.

Kata beliau lagi, pembangunan Kampung Baru akan menepis stigma masyarakat bahawa orang Melayu adalah peniaga tepi jalan dan tidak akan maju.

“Orang Melayu perlu bersedia untuk ‘upgrade’ diri masing-masing. Kita tidak mahu terus kekal menjadi simbol peniaga tepi jalan.

“Kita tidak mahu ia dijadikan sebagai identiti masyarakat Melayu. Pasar Ramadan kita masih kekalkan, namun orang Melayu perlu ada peningkatan melalui peluang perniagaan yang akan ditawarkan,” katanya.

Pada 21 September lalu, dalam sesi Town Hall Pembangunan Kampung Baru, Khalid mengumumkan tawaran harga kerajaan RM850 setiap kaki persegi tanah di kawasan itu.

Beliau berkata, kerajaan memberi jaminan tanah berkenaan tidak akan dibuka kepada bukan Melayu atau ditukar status kepada pegangan bebas, seperti termaktub dalam Akta 733 Perbadanan Pembangunan Kampung Baru.

Tumpuan pembangunan Kampung Baru yang dirancang meliputi 70 peratus perumahan dan 30 peratus pembangunan komersial membabitkan keluasan 122 hektar.

Sumber: Berita Harian