Tanah Kampung Baru: Kerajaan patut pajak bukan beli

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyifatkan tawaran pembelian tanah Kampung baru di sini pada harga RM850 setiap kaki persegi tidak wajar berdasarkan nilai sebenar yang jauh lebih mahal.

Setiausaha Agungnya, Amirhamzah Karim berkata, tawaran pembelian itu jauh di bawah harga pasaran semasa yang berpatutan iaitu kira-kira RM2,000 satu kaki persegi.

“Kerajaan atau pihak-pihak lain cuba membeli tanah itu pada harga yang murah, kemudian menjual kepada pihak ketiga pada harga tinggi. Ini tidak mendatangkan kebaikan kepada pemilik yang menggadaikan harta pada nilai tidak munasabah.

“Sehingga kini rizab Melayu yang telah dijual tidak pernah diganti. Rizab Melayu yang ada sekarang siapa yang mahu ganti.

“Saya berandaian pemikiran bahawa semua (tanah) kena beli patut ditolak sama sekali demi menjaga warisan tanah Melayu,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di ibu pejabat DPMM, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Presiden DPMM Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee.

Beliau turut mencadangkan pembelian tanah di Kampung Baru perlu diuruskan melalui proses pajakan tanah selama 60 tahun supaya ia memberi pulangan dan laba kepada pemilik serta pewaris kampung warisan berusia lebih 100 tahun itu.

“Perkara ini sepatutnya tidak berlaku lagi kepada tanah-tanah rizab Melayu. Keadah yang patut digunakan ialah kaedah pajakan yang saya fikir paling sesuai supaya tanah-tanah rizab Melayu ini kekal sebagai rizab Melayu.

“Pewarisan tanah rizab Melayu ini sentiasa kekal sampai bila-bila. Saya rasa pandangan yang kerajaan gunakan hari ini sepatutnya bertukar,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirhamzah berkata kaedah pajakan tempoh selama 60 tahun itu dirasakan sesuai demi memastikan kesinambungan kepunyaan tanah milik orang Melayu itu berterusan sampai bila-bila.

“Selama 30 tahun pertama dia membayar pinjaman manakala 30 tahun lagi dia menikmati hasil daripada pinjaman itu. Dalam tempoh 60 tahun pembangunan hartanah tersebut, dia telah mendapat semua kembali keuntungan, pulangan dan modal.

“Oleh itu, tanah orang Melayu di Kampung Baru tidak akan terjual dan boleh diteruskan pembangunan seterusnya. Kaedah ini boleh membantu keturunan pewaris tanah-tanah ini,” katanya.

Ditanya mengenai usaha kerajaan mahu membangunkan semula kawasan tersebut, beliau berkata, pihaknya menyambut baik usaha tersebut demi keselesaan dan kesejahteraan penduduk selain memberikan peluang perniagaan kepada penduduk tempatan yang kini semakin dihimpit warga asing.

Sumber: Utusan Online

Undian

Adakah anda berpuas hati dengan laman web ini

Tag Cloud
e-Penyertaan
e-PENYERTAAN & MAKLUMBALAS
Newsletter
Langgan RSS melalui e-mel
Sila Masukkan Alamat Emel Anda :

X