Tawaran Kampung Baru tertinggi pernah ditawarkan untuk tanah rizab Melayu

PUTRAJAYA, 11 Nov — Kerajaan yakin pemilik tanah di Kampung Baru, Kuala Kumpur akan bersetuju dengan tawaran baharu bagi pembangunan semula kawasan itu pada harga RM1,000 satu kaki persegi kerana ia yang tertinggi pernah ditawarkan untuk mana-mana tanah rizab Melayu.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata harga RM1,000 satu kaki persegi adalah bersamaan dengan RM43.5 juta seekar (0.4 hektar).

“Saya tak tahu jika tawaran (lebih) baik dapat ditawarkan pihak lain selepas ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Ahmad Dahlan.

Berdasarkan tawaran baharu itu, RM850 akan dibayar berdasarkan pilihan bentuk pulangan yang dipilih pemilik manakala baki RM150 pulangannya adalah dalam bentuk pegangan saham ke atas Syarikat Tujuan Khas (SPV).

Khalid berkata setakat ini, seramai 1,716 pemilik daripada keseluruhan 5,359 pemilik tanah telah memberikan respons terhadap tawaran tersebut, dengan 93.7 peratus daripada 1,716 pemilik itu bersetuju untuk menjualnya, 6.2 peratus tidak setuju manakala baki 0.1 peratus tidak jelas responsnya.

Khalid turut menepis andaian bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa tidak logik untuk mendapatkan persetujuan 100 peratus daripada pemilik tanah Kampung Baru untuk menjual tanah mereka.

“Saya anggap bahawa nak dapatkan persetujuan tidak mustahil. Kita, kerajaan, menyeru dan merayu untuk semua pemilik kembali semula kepada tujuan asal kewujudan Kampung Baru ialah untuk menentukan jumlah orang Melayu di Kuala Lumpur adalah munasabah.

“Kita kena membangun mengikut aliran zaman. Kita kena bangunkan Kampung Baru supaya jumlah penduduk Melayu di Kuala Lumpur boleh ditingkatkan. Saya yakin pemilik akan bersetuju bila mereka memahami iaitu bila jual kepada kerajaan, mereka teruskan matlamat asal,” katanya.

Beliau berkata pemilik tanah Kampung Baru wajar menerima tawaran tersebut kerana di masa hadapan keadaan akan menjadi sukar dengan isu pemilikan seperti pertambahan nama waris untuk satu lot tanah.

“Ada satu geran yang ada 150 nama. Bila semakin bertambah, semakin sulit nak dijual. Tawaran ini juga akan selesaikan pemilikan banyak untuk satu lot,” katanya.

Khalid berkata pihaknya akan membuat sesi libat urus berterusan dengan pemilik tanah di Kampung Baru bagi memastikan rancangan pembangunan Kampung Baru, dapat dilaksanakan.

“Kita mengharap dan mengusahakan 100 peratus persetujuan. Kita buat tawaran urus niaga yang baik, jadi tiada sebab orang nak tolak,” katanya.

Beliau berkata sebaik sahaja pihaknya mendapat maklum balas daripada pemilik tanah sebelum hujung tahun ini, pelan pembangunan Kampung Baru akan dimuktamadkan.

“Kita nak pemilik turut sama terlibat dalam projek ini dan kita nak membangunkan Kampung Baru ini bersama pemiliknya. Malahan ‘layout’ pun akan dibawa untuk berbincang dengan pemilik tanah Kampung Baru,” katanya.

Sumber: Bernama