KWP cadang tangguh siasatan pengambilan tanah Sungai Baru – PKB

MGF17042020_SARINGAN-COVID-KG-BARU26

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mencadangkan supaya siasatan pengambilan tanah untuk projek pembangunan semula Sungai Baru, Kampung Baru ditangguhkan ke tahun depan.

Perkara itu dimaklumkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) menerusi kenyataan kepada media pagi ini yang memetik cadangan penangguhan siasatan itu dikemukakan menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Menurut kenyataan itu, Shahidan telah mengadakan rundingan dengan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL), pemaju dan pemilik lot flat PKNS Sungai Baru.

“Lanjutan daripada rundingan itu, menteri telah mencadangkan supaya siasatan pengambilan tanah ditangguhkan ke tahun hadapan bagi membolehkan rundingan di antara pemaju dan pemilik lot flat PKNS Sungai Baru untuk mencapai satu persetujuan.

“Menteri Wilayah Persekutuan akan sentiasa berusaha untuk membantu bagi memastikan rundingan antara pemaju dan pemilik lot flat terbabit berjalan dengan harmoni,” kata kenyataan PPKB yang diedarkan kepada media hari ini.

Rundingan itu isu pampasan yang diterima oleh pemilik tanah flat PKNS Sungai Baru, Kampung Bharu, Kuala Lumpur dengan KWP melalui PKB bertindak sebagai fasilitator bagi membantu melancarkan pelaksanaan pembangunan semula kawasan itu. – MalaysiaGazette

Sumber:Malaysia Gazette