Khairul Nizam dilantik CEO baharu Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu

KUALA LUMPUR: Dr Khairul Nizam Othman dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), berkuat kuasa semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata pelantikan itu dibuat selaras peruntukan Seksyen 27(1) dan 27(2) Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 (Akta 733).
Khairul Nizam, 52, memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Hartanah dan Alam Sekitar dari Universiti Malaya (UM) serta berpengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar dan pengurusan tanah.
Sepanjang kerjayanya, beliau pernah memegang pelbagai jawatan strategik di peringkat Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan, termasuk sebagai Pengarah (Perancangan Pembangunan dan Ekonomi) di PKB.
“Beliau juga aktif menghasilkan penulisan dan penyelidikan ilmiah yang menjadi rujukan penting dalam dasar perancangan dan pembangunan tanah negara,” kata Dr Zaliha.
Beliau yakin Khairul Nizam mampu menerajui PKB dengan wawasan yang jelas dan komitmen tinggi dalam memperkasa agenda pembangunan semula kawasan petempatan itu sebagai zon warisan dan ekonomi yang inklusif serta berdaya tahan untuk masa depan generasi Melayu bandar.
Dr Zaliha turut merakamkan penghargaan kepada CEO terdahulu, Dr Amir Raslan Abu Bakar atas sumbangan dan kepimpinan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan dari 26 Julai 2023 hingga kelmarin.
“Sumbangan beliau amat dihargai dalam mengukuhkan operasi dan hala tuju strategik PKB,” katanya.
PKB ditubuhkan pada 1 April 2012, susulan penggubalan Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bahru 2011 (Akta 733) yang diluluskan Parlimen pada 7 Disember 2011.
Perbadanan ini dipertanggungjawabkan sebagai agensi penyelaras, pemudah cara dan penggerak utama dalam pembangunan semula Kampong Bharu di tengah bandaraya Kuala Lumpur.
Sumber: Berita Harian | 28 Julai 2025

							
							
							
							
							
							
							
							
							
							
							
							
							
							
 Bahasa Melayu
 English



