Kampung Sungai Baru: Lebih RM62 juta pampasan sudah dibayar

Dr Khairul Nizam memberikan penerangan pada sidang media mengenai isu Kampung Sungai Baru di pejabatnya hari ini. - Foto: Bernama
Dr Khairul Nizam memberikan penerangan pada sidang media mengenai isu Kampung Sungai Baru di pejabatnya hari ini. – Foto: Bernama

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Sebanyak RM62.57 juta pampasan telah dibayar kepada pemilik dan pihak berkepentingan dalam projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Dr Khairul Nizam Othman menjelaskan, jumlah pampasan tersebut ditentukan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Wilayah Persekutuan mengikut Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah 1960.

“Proses pengambilan tanah bagi 110 unit melibatkan 72 petak strata, 37 lot rumah teres dan satu lot milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah diwartakan di bawah Seksyen 4 APT pada 18 Jun 2021 dan Seksyen 8 pada 21 Jun 2021.

“Pampasan meliputi nilai hartanah, kos selenggara, kos pindah, sewa sementara, kehilangan pendapatan, fi penilaian dan kos hadir bicara,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sesi Taklimat Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru, Kampong Bharu, Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Menurutnya, selain pampasan tunai, pemilik yang bersetuju dengan tawaran usaha sama bersama pemaju turut menerima rumah ganti dengan nilai yang lebih tinggi berbanding pampasan pengambilan tanah.

“Pemilik rumah flat memperoleh sebuah rumah ganti dengan anggaran nilai antara RM884,000 hingga RM1 juta, manakala pemilik rumah teres menerima antara tiga hingga sembilan unit rumah ganti dengan anggaran nilai RM2.7 juta hingga RM8.1 juta,” katanya.

Bagi pemilik yang tidak bersetuju atau mempunyai isu pusaka, Khairul berkata, pampasan dibayar secara tunai mengikut keluasan rumah.

“Bagi rumah flat, pampasan tunai adalah antara RM198,000 hingga RM356,000, manakala bagi rumah teres pula, pampasan berjumlah antara RM803,000 hingga RM2.95 juta.

“Bayaran pampasan ini dibuat secara berperingkat bermula Februari 2022 hingga Januari 2023,” jelasnya.

Jelas beliau lagi, tawaran usaha sama memberi nilai masa hadapan yang lebih baik kerana pemilik bukan sahaja mendapat rumah baharu tetapi juga imbuhan kewangan.

“Perbezaan utama adalah pampasan membayar nilai semasa manakala usaha sama memberi pemilik hartanah baharu yang lebih bernilai apabila projek siap kelak,” katanya.

Sumber: Sinar harian