BOLEH TAK TERANGKAN SERBA SEDIKIT PENGENALAN MENGENAI PERBADANAN PEMBANGUNAN KAMPONG BHARU
Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) merupakan salah satu agensi Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP). Kepimpinan PKB diterajui oleh Anggota Perbadanan dan Majlis Penasihat PKB daripada kalangan wakil-wakil Kerajaan, golongan profesional, pemilik dan pewaris serta komuniti Kampong Bharu dalam memberikan khidmat nasihat dan pandangan berhubung pembangunan semula Kampong Bharu. Ketua Pegawai Eksekutif dengan kekuatan lebih kurang 40 orang warga kerja.
APAKAH PUNCA KUASA PKB DALAM MELAKSANAKAN FUNGSI SEBAGAI PEMUDAHCARA PEMBANGUNAN SEMULA KAMPONG BHARU?
Pada 7 Disember 2011, Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 (Akta 733) telah diluluskan oleh Parlimen. Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) pula telah mula beroperasi pada 1 April 2012.
Akta 733 telah menggariskan secara jelas fungsi dan tanggungjawab PKB dalam melaksanakan pembangunan semula Kampong Bharu.
APAKAH FUNGSI-FUNGSI PERBADANAN PEMBANGUNAN KAMPONG BHARU?
PKB berfungsi sebagai pemudahcara bagi memacu, merangsang dan menggalakkan aktiviti pertumbuhan ekonomi, komersial dan perindustrian melalui kerjasama dan perkongsian strategik yang menguntungkan pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu.
APAKAH PENGANGKUTAN YANG MEMUDAHKAN ORANG AWAM KE KAMPONG BHARU?
Pelbagai kemudahan awam yang terdapat di sekitar Kampong Bharu seperti kemudahan pengangkutan LRT dan bas. Stesen sedia ada adalah Stesen LRT Kampong Bharu, Stesen LRT Dang Wangi, Stesen Monorel Chow Kit, Monorel Medan Tuanku dan kemudahan bas Go KL. Pada masa kini, stesen MRT Kampong Bharu yang terletak di Jalan Raja Muda Abdul Aziz sedang dalam pembinaan.
APAKAH LANGKAH-LANGKAH YANG KERAJAAN AMBIL UNTUK MENANGANI DAKWAAN PIHAK-PIHAK TERTENTU YANG MENYATAKAN PROJEK PEMBANGUNAN SEMULA KAMPONG BHARU AKAN MENGHAPUSKAN PEMILIKAN HARTANAH ORANG MELAYU
Kerajaan telah menetapkan pemilikan hartanah di Kampong Bharu akan kekal milik orang Melayu selepas terlaksananya pembangunan semula. Ini disokong dengan mengekalkan sekatan kepentingan hakmilik tanah sediada bahawa tanah ini tidak akan dipindahmilik kepada bukan Melayu. Ketetapan ini disebut di bawah Seksyen 14(4) Akta 733 “Perbadanan hendaklah menjalankan fungsinya di bawah subseksyen (1) dengan apa-apa cara yang perlu demi melindungi, memelihara dan memulihara kepentingan orang Melayu”.
KENAPA HARGA TANAH DI KAMPONG BHARU TIDAK SETINGGI SEPERTIMANA NILAI TANAH DI SEKITAR KLCC DAN JALAN SULTAN ISMAIL.
Dalam menentukan nilai tanah, beberapa faktor yang mempengaruhi nilaian perlu diambilkira. Tanah di Kampong Bharu mempunyai sifat-sifatnya yang tersendiri berbanding tanah-tanah yang berada di sekitar seperti KLCC, TRX, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tun Razak yang tiada sekatan pemilikan.
Faktor sekatan kepentingan hakmilik tanah yang mengekalkan pemilikan orang Melayu menjadi faktor utama dalam penentuan nilaian. Selain itu, faktor pemilikan yang ramai, keluasan tanah yang tidak ekonomik, kemudahan infrastruktur serta utiliti dan pasaran hartanah yang terhad juga turut menyumbang kepada perbezaan nilaian tanah di kawasan Kampong Bharu dengan tanah sekitarnya yang telah membangun.
DIFAHAMKAN KOS PEROLEHAN TANAH DI KAMPONG BHARU AKAN MENELAN PERBELANJAAN YANG SANGAT BESAR IAITU ANGGARAN RM10 BILION. ADAKAH KERAJAAN MAMPU UNTUK MENAMPUNG KOS BERKENAAN?
Kementerian Wilayah Persekutuan telah menubuhkan Jawatakuasa Pembangunan Kampong Bharu Pada 18 September 2018 bagi mengkaji Kaedah Pembangunan terbaik dalam Pembangunan Semula Kampong Bharu.
Melalui Jawatankuasa ini, analisa awal menjangkakan kos perolehan tanah adalah di antara RM 6 Billion hingga RM 10 Billion yang mana ianya adalah melebihi nilai pasaran semasa dan kaedah perolehan tanah adalah perlu dilaksanakan secara serentak bagi mengelakkan spekulasi nilai tanah yang tidak sepatutnya.
Kerajaan sedang meneliti dan mengenalpasti sumber kewangan untuk membiayai kos perolehan tanah seperti berikut:
i)Terbitan Sukuk
ii)Penubuhan ‘Special Purpose Vehicle’ (SPV) yang boleh mendapatkan dana melalui terbitan Bon/Sukuk dan ‘Syndicated Loan’.
iii)Geran Khas Kerajaan
Setakat ini Kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa pilihan sumber kewangan yang akan digunakan untuk membiayai kos perolehan berkenaan.
JIKA PEMBANGUNAN DILAKSANAKAN, DI MANA PENDUDUK KAMPONG BHARU AKAN DITEMPATKAN
Pembangunan akan dilaksanakan secara berfasa yang mana Kerajaan akan mengenalpasti rumah-rumah kediaman yang terdapat di sekitar Kampong Bharu untuk didiami oleh kumpulan pertama yang terlibat dengan pembangunan.
APAKAH BENTUK PEMBANGUNAN YANG BAKAL DILAKSANAKAN DI KAMPONG BHARU
Merujuk kepada Pelan Konsep Pembangunan Kampong Bharu 2019 yang disediakan, Kampong Bharu telah direkabentuk dengan memberikan fokus kepada pembangunan berbentuk kediaman berkonsepkan ‘Bringing Back People To The City’. Pembangunan Kampong Bharu perlu menjadi pelengkap kepada pembangunan-pembangunan komersial berintensiti dan berprofil tinggi seperti KLCC, TRX, BBCC DAN KL118 yang terletak di sekitar Kampong Bharu.
Selain itu, komponen utama yang dicadangkan dalam pelan konsep Kampong Bharu adalah satu kawasan khusus bagi tujuan pembinaan elemen-elemen warisan seperti Kampung Warisan, Taman Warisan, Pusat Kesenian dan Kebudayaan Warisan Melayu serta Kompleks Warisan Melayu. Ianya akan menjadi tumpuan aktiviti-aktiviti kesenian melayu seperti pertunjukkan tarian, seni pertahankan diri, sukan tradisional, demonstrasi masakan tradisonal dan sebagainya.
BERAPA ANGGARAN TEMPOH MASA YANG DIPERLUKAN UNTUK MEMBANGUNKAN KAMPONG BHARU
Pembangunan Kampong Bharu diunjur untuk dilaksanakan bagi tempoh 30 tahun yang akan melibatkan 3 Fasa pembangunan. Tempoh yang dicadangkan dikenalpasti sebagai bersesuaian dalam mengagihkan intensiti pembangunan tinggi yang telah ditetapkan untuk pembangunan semula Kampong Bharu.
Fasa pertama diunjurkan dilaksanakan bagi tempoh 10 tahun akan melibatkan komponen kampung warisan, taman warisan, pusat kesenian dan kebudayaan warisan melayu, Kompleks Warisan Melayu, unit-unit kediaman kepada pemilik tanah Kampong Bharu, ‘Parkview Housing’ dan koridor perdagangan.
Fasa kedua dengan unjuran tempoh masa pelaksanaan selama 10 tahun akan melibatkan komponen pembangunan bercampur, kediaman berintensiti sederhana dan tinggi.
Sementara fasa ketiga yang akan turut melibatkan tempoh masa selama 10 tahun akan dibangunkan dengan komponen pembangunan yang terdiri daripada pembangunan bercampur, kediaman berintensiti sederhana dan tinggi.
Walau bagaimanapun, unjuran pelaksanaan tempoh masa pembangunan akan sentiasa dipantau tertakluk kepada permintaan pasaran hartanah dalam memastikan pembangunan semula Kampong Bharu tidak dibebani dengan isu-isu yang akan memberikan imej negatif kepada usaha pembangunan semula Kampong Bharu.
DIFAHAMKAN KAMPONG BHARU MENGALAMI KESESAKAN LALU LINTAS. BAGAIMANA PKB MENGATASI MASALAH INI?
Jalan raya Kampong Bharu dibina berdasarkan rumah-rumah tradisional yang tidak mempunyai banyak kenderaan. Setelah berlaku peredaran masa, Kampong Bharu telah berubah menjadi ‘Syurga Makanan’ yang menarik peniaga-peniaga membuka kedai makan yang membuatkan orang-orang luar dan pelancong datang ke Kampong Bharu untuk menikmati makanan. Keadaan ini menyebabkan pertambahan kenderaan dan diburukkan lagi kenderaan yang meletak kereta di tepi jalan. Ini yang menyebabkan berlaku kesesakan lalulintas di Kampong Bharu.
Sekarang adalah masa yang terbaik untuk membuat perancangan baharu dengan mengambil kira plot ratio 10 yang telah diluluskan oleh kerajaan yang akan menyebabkan pertambahan bilangan trafik. Perancangan baru ini akan mengambil kira jumlah jangkaan pertambahan trafik dan jangkaan jumlah penduduk.
KAMPONG BHARU TERSOHOR DENGAN MAKANAN-MAKANAN YANG SEDAP. BAGAIMANA CARANYA UNTUK MENCARI LOKASI TERSEBUT.
Cara untuk mencari lokasi dengan mudah dan cepat adalah dengan memuat turun aplikasi mudah alih iaitu aplikasi Kampong Bharu Food Heaven di apple store atau google play store pada telefon pintar anda. Aplikasi ini menyediakan informasi berkenaan premis-premis makanan yang terdapat di Kampong Bharu. Maklumat premis di dalam aplikasi adalah seperti berikut:
- Kategori Makanan
- Nama Premis
- Nombor Telefon
- Peta Lokasi Premis
- Waktu Operasi
- Parking Terdekat
- Gambar Menu Pilihan
DIKHABARKAN SALOMA LINK AKAN MENARIK PELANCONG UNTUK KE KAMPONG BHARU. APAKAH KEISTIMEWAAN SALOMA LINK TERSEBUT?
Saloma Link merupakan satu jambatan ikonik yang boleh menghubungkan Kampong Bharu dan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) khasnya untuk pejalan kaki. Lokasinya yang strategik besebelahan Stesen LRT Kampong Bharu akan memudahkan orang awam dan pelancong untuk menggunakan Saloma Link tersebut. Antara perkara yang boleh memikat hati para pengunjung adalah dengan adanya satu ‘Photostop’ yang membolehkan para pengunjung bergambar dan berswafoto di atas jambatan saloma link yang berlatarbelakangkan KLCC.
Konsep Rekabentuk diinspirasikan daripada sirih junjung yang melambangkan penyatuan dan pelengkap kepada upacara tradisi Melayu. Dengan rekabentuk yang unik, kemudahan laluan pejalan kaki yang luas dan berbumbung dilengkapi dengan landskap yang menghijau serta penataan cahaya yang amat menarik pada waktu malam serta mengikut tema keraian-keraian di Malaysia seperti Hari Kebangsaan, Hari Raya Aidilfitri dan beberapa lagi. Saloma Link ini bukan sahaja bakal menarik tumpuan dan kunjungan para pelancong asing dan tempatan, bahkan akan menjadi ikon pelancongan baru di dalam Bandaraya Kuala Lumpur.
BAGAIMANA USAHA-USAHA KERAJAAN UNTUK MEMBANTERAS WARGA ASING DI KAMPONG BHARU?
Antara usaha-usaha kerajaan dalam menanggani isu ini ialah dengan menjalankan operasi serbuan dan tangkapan oleh agensi penguatkuasaan. Setakat Julai 2019 , agensi penguatkuasaaan telah menjalankan operasi penguatkuasaan dalam membenteras PATI di kawasan Kampong Baru.
Operasi pertama telah dijalankan oleh Jabatan Imigresen pada 11 April 2019 di sekitar restoran-restoran di Kampong Bharu. Dalam serbuan ini seramai 65 orang PATI telah ditahan yang kebanyakan mereka bekerja sebagai pelayan dan tukang masak restoran tanpa permit yang sah. Operasi serbuan kedua juga telah diadakan pada 28 Mei 2019 dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Pendaftaran. Dalam operasi ini seramai 134 PATI telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah akta Imigresen.
Operasi-operasi ini akan dijalankan secara berkala dan berterusan bagi mengekang kebanjiran PATI di dalam kawasan Kampong Bharu. Pembangunan Kampong Bharu perlu dilaksanakan segera bagi mempromosi semula Kawasan warisan orang Melayu dan sifar warga asing.
DIFAHAMKAN RAMAI YANG CUBA MENIRU RESEPI BUBUR LAMBUK MASJID JAMEK KAMPONG BHARU. BAGAIMANA MASJID JAMEK KAMPONG BHARU MAMPU MENGEKALKAN KEASLIAN RESEPI BUBUR LAMBUK
Saban tahun, Masjid Jamek Kampong Bharu menjadi tumpuan ramai orang oleh kerana bubur lambuknya yang menjadi kegemaran wargakota terutamanya apabila ramadan menjelma.
Bubur lambuk ini diagihkan secara percuma kepada orang ramai untuk dibawa pulang dan dinikmati bersama keluarga. Sebanyak 15 periuk bubur lambuk bersamaan 3,000 bungkus sehari, akan diedarkan sepenuhnya kepada orang ramai untuk dibawa pulang.
Menurut sumber daripada Pengerusi Masjid Jamek Kampong Bharu, resepi asal bubur lambuk ini ia diasaskan oleh seorang warga Pakistan, Allahyarham Said Benk pada tahun 1949. Resipi turun-temurun ini teruskan beberapa tukang masak handal Kampong Bharu. Menurut tukang masak Encik Zainal Abidin, keistimewaan bubur lambuk Kampong Bharu adalah ramuan herba dan rempah ratus yang digunakan sejak 60 tahun lalu tidak pernah berubah. Ia tetap digunakan sehingga kini tanpa mengurangkan walau satu jenis bahan. Paling utama adalah penggunaan tujuh jenis rempah iaitu jintan manis, halba, buah pelaga, bunga cengkih, kulit kayu manis, bunga lawang dan serbuk lada hitam.
Bahan sampingan lain yang amat penting dalam pembuatan bubur lambuk antaranya daging tetel, udang kering, bawang besar yang dihiris, bawang putih, santan, minyak sapi, minyak kelapa dan garam. Untuk menambah aroma pula, daun pandan, daun sup dan daun bawang turut dicampur, selain ditabur dengan bawang goreng.
APAKAH TEMPAT-TEMPAT SEJARAH DI KAMPONG BHARU?
- MASJID JAMEK
Masjid Jamek Kampung Baru asalnya dibina hasil kerjasama penduduk yang mahukan sebuah masjid didirikan di pusat bandar Kuala Lumpur. Sejarah pembinaannya bermula dengan sumbangan sebidang tanah seluas 4 lot oleh pedagang Melayu, Bachik Abdullah pada 1880-an. Bachik yang berasal dari Melaka dan menetap di Jalan Melayu, Kuala Lumpur terkenal sebagai ketua orang Melayu Kampung Ujong Pasir yang dermawan. Tanah sumbangan Bachik itu kemudian diwakafkan kepada Lembaga Pentadbir Kampung Baru (MAS) pada akhir 1920-an untuk dibangunkan sebuah masjid.
Masjid pertama dibina berbentuk seperti sebuah balai sekadar memenuhi keperluan tempat sembahyang. Lantai balai berkenaan diperbuat daripada kayu , manakal tiang daripada batang pokok nibong. Selain masjid, tanah perkuburan, bagi penduduk Kampung Baru disediakan di kawasan berkenaan. Sejak itu, kawasan berkenaan menjadi tumpuan masyarakat setempat dan pedagang yang berdagang ke Kuala Lumpur melalui Sungai Klang. Disebabkan pertumbuhan penduduk begitu pesat, beberapa pengubahsuaian dijalankan khususnya bagi memperelokkan seni bina masjid.
Ketika proses pengubahsuaian kedua, reka bentuk masjid berkenaan seolah-olah seperti seni bina rumah Melayu Melaka. Tidak berapa lama selepas itu, keadaan masjid kembali berubah wajah apabila bangunan baru didirikan. Usaha membangunkan bangunan baru hasil bantuan dan gotong-royong penduduk kampung itu.
Bagi membiayai pembinaan itu, setiap keluarga disaran menderma RM60 secara tunai atau beransur-ansur. Pada 1955, jumlah kutipan yang dibuat melalui kaedah itu berjaya mengumpulkan RM30,000. Bagaimanapun, proses kutipan dilihat perlahan dan berkemungkinan boleh membantutkan usaha membina bangunan baru. Justeru, satu jawatankuasa ditubuhkan bagi mempercepatkan kempen kutipan derma. Akhirnya, jawatankuasa berkenaan berjaya mengumpulkan RM214,000 iaitu RM90,000 sumbangan Kerajaan Selangor manakala bakinya hasil derma dan tabungan masjid. Wang itu digunakan membiayai pembinaan masjid termasuk membina ruang sembahyang lebih luas dan tempat wuduk yang selesa.
- KELAB SULTAN SULAIMAN
Kelab Sultan Sulaiman pada asalnya merupakan dewan daripada kayu dan kemudian dibina bangunan batu. Tujuannya untuk ‘bersaing’ dengan Lake Club yang juga terletak di Kuala Lumpur pada ketika itu.
Bangunan ini menjadi sejarah kerana di sini pertubuhan UMNO ditubuhkan dan pelbagai kongres berkaitan orang Melayu telah diadakan. Sultan Selangor ketika itu telah memperkenankan nama Sultan Sulaiman sebagai nama kelab tersebut.
- GURDWARA TATT KHALSA
Gurdwara Tatt Khalsa Diwan adalah Kuil Sikh berhampiran Pasar Basah Chow Kit dan Kampong Bharu. Ia adalah kuil Sikh yang terbesar di Asia Tenggara dan rumah kerohanian bagi 75,000 penduduk Kuala Lumpur yang berbangsa Sikh.
Tapak asal Gurdwara pada tahun 1819 adalah di mana Hospital Besar Kuala Lumpur sekarang.
Kerajaan British secara rasmi memberikan lot untuk masyarakat Sikh di Jalan Raja Alang pada tahun 1922.
Pembinaan dua bangunan kuil di atas 1.5 ekar tanah di tengah-tengah Kawasan komersil utama, telah dibiayai sepenuhnya oleh ahli-ahli gurdwara.
BERAPAK KELUASAN TANAH KAMPONG BHARU DAN BILANGAN KAMPUNG ?
Kampong Bharu yang berkeluasan 300.73 ekar terbahagi kepada dua (2) kawasan iaitu Kawasan Penempatan Pertanian Melayu (Malay Agricultural Settlement – M.A.S.) berkeluasan 219.91 ekar dan kawasan luar M.A.S. berkeluasan 80.82 ekar.
Terdapat 7 buah kampung di dalam kawasan M.A.S. iaitu Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Masjid, Kampung Pindah, Kampung Paya, Kampung Hujung Pasir dan Kampung Periok manakala terdapat 5 kawasan / kampung di luar kawasan M.A.S iaitu Raja Bot, Kampung Sungai Baru, Flat PKNS Jalan Tun Razak, sekitar Bangunan UDA Legasi dan sekitar Wisma PERKESO.
DI MANAKAH LOKASI DAN SEMPADAN KAMPONG BHARU?
Kampong Bharu terletak di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur yang bersempadan dengan beberapa jalan utama. Sempadan di bahagian Utara melibatkan Jalan Raja Muda Abdul Aziz, dan di bahagian Selatan adalah Sungai Klang / Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH). Manakala sempadan di bahagian Barat adalah Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan di bahagian Timur adalah Jalan Tun Razak.
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN HARTA PUSAKA ?
Segala apa yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya, kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya sama ada harta benda, hak-hak dan apa yang termasuk dalam miliknya setelah dia mati. Kematian si mati hendaklah disertakan dengan bukti seperti yang digariskan oleh undang-undang.
APAKAH KATEGORI HARTA PUSAKA ?
Harta Pusaka terbahagi kepada dua kategori iaitu :
i.Harta tidak alih seperti rumah dan tanah.
ii.Harta alih ialah harta yang selain daripada harta tidak alih seperti wang tunai, saham, akaun simpanan bank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), insurans, kenderaan, senjata api, barang kemas dan sebagainya.
BAGAIMANAKAH PERMOHONAN PENYELESAIAN HARTA PUSAKA PERLU DIBUAT ?
Permohonan harta pusaka boleh dikemukakan ke Unit Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) bagi jumlah keseluruhan nilai semasanya tidak melebihi RM2 juta dan si mati tidak meninggalkan wasiat di bawah Akta Wasiat 1959 (Akta 346).
Bagi nilai harta si mati yang melebihi RM2 juta, permohonan perlu dibuat ke Mahkamah Tinggi.
APAKAH YANG PERLU PEMILIK LAKUKAN SEKIRANYA DOKUMEN HAKMILIK ATAU GERAN HILANG ?
Pemilik atau pihak yang berkepentingan perlulah menyediakan dokumen berkaitan seperti surat permohonan, akuan bersumpah, carian persendirian / salinan diakui sah (CTC), salinan kad pengenalan (diakui sah) semua individu berkepentingan, dokumen hakmilik dan pelan yang rosak, laporan polis (pilihan) dan salinan bil cukai tanah semasa untuk dikemukakan kepada Pejabat Tanah & Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG WPKL) untuk tindakan lanjut.
BOLEHKAH TANAH KAMI DIJUAL KEPADA ORANG BUKAN MELAYU ?
Tiada pindaan
BOLEHKAH PEWARIS MENJUAL TANAH ATAU MENANDATANGANI PERJANJIAN USAHA SAMA SEKIRANYA PEMILIK BERDAFTAR TELAH MENINGGAL DUNIA ?
Pewaris kepada pemilik berdaftar dalam dokumen hakmilik tanah (geran) tidak boleh menjalankan sebarang urusniaga ke atas tanah tersebut. Permohonan penyelesaian harta pusaka perlu diselesaikan terlebih dahulu agar semua perjanjian atau dokumen berkaitan dapat diuruskan secara teratur.
BERAPA JUMLAH RUMAH WARISAN KAMPONG BHARU YANG TELAH DIKENALPASTI?
11 buah rumah telah dikenalpasti yang mempunyai ciri-ciri senibina rumah tradisional Selangor, Johor, Perak, Pahang dan Melaka. Ciri-ciri rumah tradisional ini diambil kira dari aspek rekabentuk bumbung, tangga, dan ruang.
APAKAH CIRI-CIRI REKABENTUK PINTU GERBANG KAMPONG BHARU?
Ciri-ciri rekabentuk pintu gerbang tebar layar dan dihiasi dengan ukiran bunga pecah lapan, iaitu:
Elemen Tebeng Layar
Diadaptasi dari elemen bumbung rumah Melayu tebar layar ‘Gable End’. Fasad tebar layar mewujudkan ‘Welcoming Effect’ dan sebagai ‘Entrance Statement’ bagi rumah Melayu yang mengalu-alukan kehadiran tetamu/pelancong ke Kampong Bharu. Rekabentuk yang dibuat adalah berpandukan kehendak-kehendak Garis Panduan Senibina Melayu Islam Kampong Bharu
Elemen Ukiran
Diadaptasi dari elemen krawang ukiran kayu rumah Melayu yang digunakan sebagai fasad utama dinding rumah. Rekabentuk ukiran yang diambil berkonsepkan ukiran bunga pecah 8 dan awan larat sebagai fasad utama di Pintu Gerbang Kampong Bharu.
APAKAH KEISTIMEWAAN BAZAAR RAMADAN KAMPONG BHARU?
Bazar Ramadhan Kampong Bharu terkenal di kalangan warga kota di sekitar Kuala Lumpur dan turut menjadi tempat tarikan pelancong dalam dan luar negara. kedudukannya yang amat strategik di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur memberi kemudahan kepada pengunjung untuk menikmati pelbagai jenis juadah berbuka puasa. Bazar ramadhan ini turut sering dikunjungi oleh beberapa tokoh kenamaan seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kanan serta selebriti-selebriti terkenal negara. Bazaar Ramadhan yang terletak di Jalan Raja Alang ini diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
SIAPAKAH TOKOH DAN SELEBRITI TERKENAL YANG MENJADI IKON KEBANGGAAN KAMPONG BHARU?
- TENGKU PERMAISURI NORASHIKIN BINTI ABDUL RAHMAN
PERMAISURI SELANGOR - TUN DR. PUAN SITI HASMAH BINTI HAJI MOHAMAD ALI
ISTERI PERDANA MENTERI MALAYSIA - TAN SRI DATO’ SETIA HAJI AMBRIN BUANG
PENGERUSI PERBADANAN PEMBANGUNAN KAMPONG BHARU/MANTAN KETUA AUDIT NEGARA - TAN SRI AZMAN HASHIM
PENGERUSI AM BANK - TAN SRI WAN AZMI WAN SHAH
AHLI PERNIAGAAN - TAN SRI MAT SHAH SAFUAN
PEMILIK HOTEL REGENCY - DATO MOHD KHAY IBRAHIM
PEMILIK TAMU HOTEL & SUITES - DATUK SHAMSIAH MOHD YUNUS
GEBENOR BANK MALAYSIA - DATO MOHAMMAD S. AHMAD
AHLI PERNIAGAAN - DATO’ ABDUL RAHIM IBRAHIM
PEMILIK PLAZA RAH DAN RAH RESIDENSI - DATO’ ASTAMAN ABDUL AZIZ
MANTAN AHLI PARLIMEN TITIWANGSA - TAN SRI PADUKA SERI DR. AISHAH BINTI ABDUL GHANI
MANTAN MENTERI KEBAJIKAN AWAM MALAYSIA - SENIMAN DATUK SUHAIMI MOHD ZAIN (PAK NGAH)
SELEBRITI TANAH - SHARIFF BIN AWANG (M. SHARIFF)
SELEBRITI TANAH AIR - TAN SRI SHEIKH SALIM SHEIKH MUHAMMAD AL MAHROS (S.M SALIM)
- JULIA BOB FAUZI ZIEGLER
SELEBRITI TANAH AIR - AHMAD AWALUDDIN ASHAARI (AWAL ASHAARI)
SELEBRITI TANAH AIR
APAKAH TEMPAT PENGINAPAN YANG POPULAR DI KAMPONG BHARU?
TERKINI:
- TAMU HOTEL & SUITES
- REGENCY HOTEL
- PLAZA RAH
- HOTEL AKAR
- ARINA UNITY
- KL INTERNATIONAL
AKAN DATANG:
- UDA LEGASI
- RAH RESIDENSI
- MENARA M1O1
BOLEH TAK DICERITAKAN SEDIKIT SEJARAH DI SEBALIK NAMA-NAMA JALAN DI KAMPONG BHARU?
Nama-nama jalan ini adalah menggunakan nama-nama sultan dan kerabat diraja negeri selangor dan di kalangan ahli lembaga mas.
Nama-nama jalan di Kampong Bharu sebelum ini menggunakan nama pegawai-pegawai British yang pernah berkhidmat di Tanah Malaya suatu ketika dahulu.
Penukaran nama-nama jalan di sekitar Kuala Lumpur sebenarnya diusahakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed, Perdana Menteri Malaysia yang keempat selepas dilantik menjadi Perdana Menteri, Beliau mencadangkan kepada nama-nama yang lebih bersifat kebangsaan dan kemalaysiaan.
Nama-nama tokoh Melayu yang terkenal, berjasa dan berpengaruh diletakkan pada nama-nama jalan bagi mengenang jasa-jasa mereka terhadap negara dan rakyat.
Berikut ialah antara nama-nama jalan yang terlibat dalam penukaran tersebut suatu masa dahulu di Kampong Bharu:
Hale Road ditukar kepada Jalan Raja Abdullah
Perkins Road ditukar kepada Jalan Raja Alang
Princes Road ditukar kepada Jalan Raja Muda Abdul Aziz
Stony Road ditukar kepada Jalan Dewan Sultan Sulaiman
Campbell Road ditukar kepada Jalan Dang Wangi
Nama jalan ini juga diambil dari tokoh-tokoh terkenal, kaya dan pahlawan diawal pembukaan Kuala Lumpur suatu ketika dahulu. Diantara contoh nama jalan seperti berikut:
Jalan Raja Abdullah
Raja Abdullah merupakan tokoh yang bertanggungjawab terhadap pembukaan dan kemajuan Kuala Lumpur pada hari ini.
Raja Abdullah beliau berasal daripada keturunan Daeng Parani, salah seorang daripada pahlawan Bugis, Daeng lima bersaudara dari Riau yang terkenal dalam sejarah Tanah Melayu pada kurun ke-18.
Beliau datang ke Lukut pada tahun 1834 bersama abangnya, Raja Jumaat untuk mengusahakan perlombongan bijih timah di situ. Di bawah pentadbiran Raja Jumaat, Lukut telah menjadi sebuah pusat perdagangan yang terkenal sekitar tahun 1830-an.
Sekitar tahun 1849 dan 1850, Sultan Muhammad Shah, Sultan Selangor ketiga telah menyerahkan watikah pelantikan pentadbiran Klang dan daerah sekitarnya kepada Raja Abdullah menggantikan pemerintah sebelumnya, Raja Sulaiman yang mangkat.
Selepas tujuh tahun mentadbir Klang, pada 1857, Raja Abdullah bersama-sama 87 orang buruh Cina telah meneroka lokasi bijih timah di sekitar Sungai Klang sebelum mendarat di Ampang. Bagaimanapun, sebahagian besar buruh yang dibawa meninggal dunia akibat demam malaria. Ekoran itu, Raja Abdullah terpaksa meminta bantuan abangnya di Lukut yang kemudiannya menghantar lebih 150 buruh tambahan ke Ampang.
“Pada tahun 1859, bijih timah berjaya dikeluarkan buat julung-julung kalinya di situ. Kuala sungai yang menjadi pertemuan antara Sungai Klang dan Sungai Gombak telah dijadikan pangkalan untuk mengangkut bijih timah.
“Ia kemudiannya disimpan di Gedung Raja Abdullah di Pengkalan Batu, Klang sebelum dieksport ke Barat melalui pelabuhan Singapura dan Melaka. Dikatakan pangkalan di bahagian kuala sungai yang agak berlumpur itulah membawa kepada kewujudan nama Kuala Lumpur pada hari ini,”
Pada 1862, Yap Ah Loy yang sebelum itu bekerja di lombong bijih timah di Lukut turut berhijrah ke Kuala Lumpur. Beliau dilantik sebagai Kapitan Cina Ketiga bermula dari 1868 hingga 1885.
Jalan Raja Alang
Raja Alang berketurunan Raja Mandailing dan merupakan Orang Melayu terkaya pada tahun 1880 dan juga merupakan pemilik estet Raja Alang antara yang terbesar di Selangor pada ketika itu.