PERANAN DAN KAWASAN PENTADBIRAN PERBADANAN PEMBANGUNAN KAMPONG BHARU (PKB)
19 September 2025 | Kenyataan Media

Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) telah ditubuhkan secara rasmi pada 1 April 2012 berasaskan peruntukan Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 (Akta 733). PKB merupakan sebuah agensi di bawah kawal selia Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang kini dikenali sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
PKB telah diberi mandat untuk melaksanakan dasar, hala tuju dan strategi pembangunan dalam kawasan Kampong Bharu. PKB melaksanakan mandat yang diberikan dengan menyelaras, memudah cara dan bertindak sebagai penggerak bagi pelaksanaan pembangunan semula di Kampong Bharu secara menyeluruh serta bersepadu. Pelaksanaan ini dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan penduduk, pemilik tanah serta pemeliharaan warisan dan budaya setempat.
Kawasan pentadbiran PKB telah ditetapkan melalui Perintah Kawasan Pembangunan Kampong Bharu (Pengisytiharan) 2015 [P.U.(A) 21] yang bertarikh 10 Februari 2015, meliputi keluasan 300.73 ekar sebagaimana pelan warta PW 1001. Kawasan tersebut termasuk Kampung Sungai Baru sebagai sebahagian daripada sempadan yang diwartakan.
PKB akan sentiasa memastikan pembangunan di Kampong Bharu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan dasar sedia ada yang ditetapkan supaya setiap proses pembangunan dilaksanakan secara tuntas dan teratur berteraskan kepada memelihara kepentingan semua pemegang taruh.
Disediakan oleh:
Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu
19 September 2025

Bahasa Melayu
English



