Masjid Jamek Kampung Baru sedia 4,000 bubur lambuk sehari

Kira-kira 20 sukarelawan masjid terlibat dalam penyediaan memasak bubur lambuk. (Gambar kecil: Mohamad Syamin)

Kira-kira 20 sukarelawan masjid terlibat dalam penyediaan memasak bubur lambuk. (Gambar kecil: Mohamad Syamin)

KUALA LUMPUR – Peningkatan harga barangan tidak menghalang pihak pengurusan Masjid Jamek Kampung Baru di sini daripada meneruskan tradisi menyediakan bubur lambuk sepanjang Ramadan.

Malah, pada tahun ini pengurusan masjid mampu untuk meningkatkan jumlah agihan bubur lambuk kepada 20 periuk berbanding sekitar 15 periuk pada tahun lalu.

Setiausaha Masjid Jamek Kampung Baru, Mohamad Syamin Mohd Husin, 30, berkata, 20 periuk bubur lambuk dapat menampung agihan sekitar 4,000 orang setiap hari.

Bagaimanapun, pihak pengurusan masjid menganggap kenaikan kos bukan masalah utama yang akan menjejaskan tradisi untuk mengagihkan juadah kegemaran ramai itu tahun ini.

Sebaliknya bubur lambuk ini terus boleh dinikmati ketika bulan puasa kerana ia tidak akan ditemui pada hari lain dan keistimewaan bubur lambuk masjid ini sudah terkenal sejak berpuluh tahun lalu.

Ujar Mohamad Syamin, kira-kira 20 sukarelawan masjid terlibat dalam penyediaan dari awal hingga akhir bermula dari menyiapkan bahan, memasak, membungkus dan mengagihkan bubur lambuk itu.

“Bagi majlis berbuka puasa pula kita tambah untuk 1,000 jemaah setiap hari dengan kos RM10,000 sehari berbanding 500 jemaah pada sambutan Ramadan pada tahun sebelum ini,” ujarnya lagi.

Ujar Mohamad Syamin, tajaan daripada semua penyumbang banyak membantu pihak masjid untuk terus mengagihkan bubur lambuk dan menganjurkan majlis berbuka puasa pada Ramadan.

Beliau bagaimanapun berharap lebih banyak sumbangan daripada jemaah dan orang ramai dapat disalurkan bagi mengimarahkan lagi Masjid Jamek Kampung Baru sehingga akhir Ramadan tahun ini.

Sumber: Sinar Harian