Kerajaan jamin pemilikan hartanah Melayu kekal di Kampung Sungai Baru
Dr Zaliha (tengah) ketika sidang akhbar khas pada Jumaat.
PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan bahawa pembangunan semula Kampung Sungai Baru tetap mengekalkan pemilikan hartanah Melayu dan bumiputera.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, perkara itu dipastikan melalui Akta Perancangan Bandar dan Desa serta garis panduan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), termasuk Seksyen 267 yang menetapkan kadar minimum pemilikan Melayu.
“Kalau tanah itu rizab Melayu, tidak ada kompromi. Seratus peratus pemilikan mesti kekal Melayu.
“Jika projek dilaksanakan melalui kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), 70 peratus mesti dimiliki Melayu, manakala bagi projek swasta, sekurang-kurangnya 40 peratus pemilikan perlu kekal Melayu,” katanya ketika sidang akhbar khas di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, kerajaan juga mengambil langkah untuk memastikan harga rumah yang akan dibangunkan mampu dibeli oleh orang Melayu.
“Kami sedang berbincang dengan UDA Holdings Berhad, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan beberapa syarikat lain untuk mencari mekanisme supaya harga rumah ini mampu dimiliki Melayu,” jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan pemaju Kampung Sungai Baru perlu membina perumahan yang mampu dibeli oleh orang Melayu memandangkan tanah itu merupakan hak milik kaum berkenaan yang diberikan oleh Sultan Selangor pada zaman British.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pemaju perlu memahami keunikan tanah Kampung Sungai Baru dan sebarang usaha membangunkan kawasan itu perlu memelihara serta mengambil kira kepentingan orang Melayu.
Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, pembangunan semula tersebut turut diberi sentuhan identiti budaya Melayu supaya penduduk berasa bangga untuk kembali menetap di kawasan berkenaan.
“Saya minta pemaju reka bentuk rumah dengan ada unsur kemelayuan seperti corak songket.
“Penduduk juga memberi pandangan supaya kemudahan seperti lif lebih besar dan sesuai digunakan jika ada kematian. Ini semua kita ambil kira,” katanya.
Sumber: Sinar Harian