Penduduk Kampung Baru inginkan pembangunan, jaminan

Johari (berdiri kiri) ketika menyantuni pengunjung di sambutan Hari Raya Aidilfitri Kampung Baru di ibu negara hari ini

KUALA LUMPUR – Majoriti penduduk dan tuan tanah di Kampung Baru menginginkan pembangunan yang lebih selesa di kawasan tempat tinggal mereka.

Bagaimanapun, jaminan untuk mereka terus kekal berada dalam zon Kampung Baru perlu diutamakan oleh setiap pemaju.

Perkara itu dijelaskan sendiri oleh Pengerusi Yayasan Bena Nusa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kampung Baru di sini hari ini.

Tambah Johari, setiap pemaju yang hadir untuk membangunkan kawasan Kampung Baru ini perlulah memastikan kebajikan penduduk sedia ada terbela.

“Mana-mana pemaju yang datang ke kawasan ini (Kampung Baru) mereka perlu mengambil kira bagaimana nak selesai masalah penduduk yang dah tinggal berpuluh tahun di sini.

“Dekat mana mereka nak duduk sementara pembangunan nak dijalankan, terutamanya melibatkan pembangunan semula kawasan flat-flat,” katanya.

Jelasnya lagi, sebelum sesebuah pembangunan dan naik taraf dilakukan, setiap pemaju perlu mempunyai strategi yang jelas dan berkesan agar tidak menyusahkan penduduk setempat.

Dalam pada itu, Johari memaklumkan program sambutan Hari Raya Aidilfitri hari ini bertujuan untuk mengeratkan perpaduan dan hubungan sesama masyarakat, menjadi produk serta tarikan pelancongan di Kampung Baru.

“Lebih 7,000 pengunjung dijangka memeriahkan jamuan kita hari ini bermula pukul 11 pagi sehingga 2 petang dengan lebih 20 hidangan makanan dan minuman disediakan,” ujarnya .

Sumber:Kosmo Online