PENCAHAYAAN PINTASAN SALOMA BERTEMAKAN JIGSAW PUZZLE SEMPENA HARI KESEDARAN AUTISME SEDUNIA 2 APRIL 2021

1 April 2021 | Kenyataan Media

Selain dari menjadi laluan pejalan kaki, Pintasan Saloma atau Saloma Link juga berupaya untuk menukar format pencahayaan mengikut tema yang bersesuaian bagi meraikan sambutan hari penting atau perayaan seperti bendera Malaysia, bendera Wilayah Persekutuan, Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Deepavali, Hari Krismas, dan sebagainya yang menjadikan laluan ikonik ini menjadi daya tarikan pengunjung di Malaysia.

Sehubungan dengan itu, sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia pada 2 April 2021, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) menetapkan tema pencahayaan JIGSAW PUZZLE” dengan pelbagai warna di Pintasan Saloma. Penetapan tema ini sebagai menyokong dan memupuk kesedaran di kalangan masyarakat Malaysia dan dunia agar lebih peka terhadap keadaan pesakit autisme.

Penduduk di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dijemput hadir dan melihat keindahan tema pencahayaan JIGSAW PUZZLE” dengan pelbagai warna di Pintasan Saloma sebagai bersama-sama menyokong Hari Kesedaran Autisme Sedunia. Walau bagaimana pun, pihak PKB memohon agar setiap pengunjung menjaga SOP yang telah ditetapkan oleh MKN seperti sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakkan sosial.

###

Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) 1 April 2021