STATUS LEMBAGA PENTADBIRAN MALAY AGRICULTURAL SETTLEMENT (MAS) DI KAMPONG BHARU

6 Jun 2020 | Kenyataan Media

Kementerian Wilayah Persekutuan telah mengambil kira pandangan perundangan daripada Jabatan Peguam Negara berkenaan status Lembaga Pentadbiran MAS Kampong Bharu serta surat dari Pejabat YB Menteri Wilayah Persekutuan bertarikh 13 Februari 2020 kepada Lembaga Pentadbiran MAS. Kandungan dokumen tersebut menyatakan peranan Lembaga Pentadbiran MAS tidak lagi relevan dalam menjalankan fungsi- fungsi pentadbiran tanah serta perancangan dan pengurusan perbandaran di Kampong Bharu. Keputusan ini diambil setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 2 Disember 2019 yang telah menyerahkan sebarang urusan berhubung dengan status Lembaga Pentadbiran MAS kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang semasa yang berkuatkuasa.

Fungsi pentadbiran tanah di Kampong Bharu dilaksanakan sepenuhnya oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) dan bukannya di bawah Kaedah-Kaedah MAS berdasarkan peruntukan kepada subseksyen 5(1) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 1973 [Akta A206]. Kaedah-Kaedah MAS hendaklah dimansuhkan kerana Lembaga Pentadbiran MAS tidak lagi mempunyai apa-apa fungsi memandangkan

kebanyakan tanah-tanah MAS telah menjadi tanah beri milik dan tanah- tanah yang tinggal hanya menunggu masa untuk diberi milikan.

Perkara-perkara yang berkaitan dengan perancangan dan pengurusan perbandaran di Kampong Bharu merupakan bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diperuntukan di bawah Akta Wilayah Persekutuan (Perancangan) 1982, Akta Bandaraya Kuala Lumpur 1973, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Lembaga Pentadbiran MAS tidak lagi boleh terlibat dalam pengurusan perbandaran termasuk pengeluaran permit penjajaan, kutipan bayaran tempat letak kereta dan sewa ruang iklan. Lembaga Pentadbiran MAS juga tidak lagi boleh terlibat dalam kawalan pembangunan termasuk mengeluarkan kelulusan perintah pembangunan, pelan bangunan, pelan kejuruteraan, permit kerja bangunan dan kerja tanah, penutupan jalan awam dan kebenaran menduduki bangunan.

Kementerian bagaimanapun amat mengalu-alukan penglibatan Lembaga Pentadbiran MAS untuk berperanan sebagai badan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat perunding dalam membantu urusan penyelesaian harta pusaka dan tanah dalam kalangan penduduk di Kampong Bharu.

###

 

 

Disediakan Oleh:

Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB)

06 Jun 2020