FASILITI, UTILITI KAMPUNG BARU PERLU DINAIK TARAF – CEO PKB

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) — Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) mengesyorkan kepada kerajaan untuk segera meningkatkan aspek utiliti dan infrastruktur di Kampung Baru supaya perancangan pembangunan semula atau penambahbaikan di kawasan itu dapat dilakukan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKB Datuk Lokman Omar berkata, menerusi tiga kajian terperinci oleh sebuah konsultan yang dilantik, sebanyak RM750 juta diperlukan untuk menaik taraf infrastruktur seperti pelebaran jalan, bekalan air, sistem pembentungan dan pembinaan pencawang masuk utama (PMU) bagi bekalan elektrik.

“Melihat aspek pembangunan semula di sesuatu kawasan, ketersediaan infrastruktur yang lengkap adalah salah satu ciri utama yang diambil kira oleh mana-mana pemaju.

“Dalam konteks Kampung Baru, utiliti dan infrastruktur sedia ada tidak tersusun yang telah menjejaskan kualiti perbandaran semasa Kampung Baru dan tidak lagi mampu menampung pembangunan berintensiti tinggi.

“Jadi ia memerlukan peruntukan khas daripada kerajaan, apatah lagi ‘setting’ asal kediaman Kampung Baru dalam bentuk sebuah rumah kampung, jadi kos perbelanjaan penyediaan fasiliti adalah besar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Lokman berkata sebelum ini pihaknya sebagai agensi penyelaras dalam pembangunan semula Kampung Baru telah beberapa kali mengemukakan cadangan tersebut kepada pihak berkenaan, namun sehingga kini belum ada maklum balas.

Selain itu, beliau berkata penglibatan secara terus daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam apa jua bentuk pembangunan di Kampung Baru juga diperlukan kerana ia akan menambah keyakinan pemilik tanah di kawasan itu berbanding pemaju luar yang membangunkannya.

“Pembangunan semula di Kampung Baru bukan di tapak kosong, tapi tapak yang diduduki, jadi proses penggantian atau perpindahan perlu ada dan jika projek telah dimulakan ia tidak boleh tertangguh kerana akan menimbulkan banyak masalah lain seperti yang telah terjadi,” katanya.

Mengikut Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu 2040, PKB menetapkan matlamat untuk menjadikan Kampung Baru sebagai pusat perdagangan dan petempatan yang inklusif dengan penekanan terhadap pembangunan yang berupaya meningkatkan sosioekonomi, berdaya huni selain mengekalkan nilai persekitaran tempatan di pusat bandar raya itu.

Sumber: Bernama

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Seri Annuar Musa

Menurut Annuar lagi, PKB perlu menghantar penilaian yang dibuat kepadanya pada 30 Jun ini sebelum dimaklumkan kepada jemaah menteri untuk tindakan selanjutnya.

Ujarnya, sekiranya ada perkara yang tidak dapat diputus untuk diteruskan ia akan dibawa berunding dengan penduduk Kampung Baru bagi mendapatkan penyelesaian alternatif.

“Saya sedang buat tinjauan tentang beberapa alternatif, yang pasti kita mahu Kampung Baru tetap maju dan keutamaan saya ia dimajukan dengan pemilikan kekal berada di tangan orang Melayu.

“Jadi usaha iktiar majukan kampung baru akan diteruskan, kaedah perlu dimuktamadkan,” tambahnya.

Sumber: MalaysiaGazette