7,242 pemilik berdaftar

PERBADANAN Pembangunan Kampong Bharu (PKB) merekodkan seramai 7,242 pemilik berdaftar hartanah di Kampong Bharu.

Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Dr Amir Raslan Abu Bakar berkata jumlah tersebut adalah dari sejak tahun 1900 sehingga kini yang merupakan generasi ketiga sehingga generasi kelima.

AMIR Raslan

“Jumlah tersebut adalah berdaftar yang memiliki lebih 1,355 lot tanah di kawasan Kampong Bharu,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.

Untuk rekod, PKB telah meraih persetujuan 88 peratus pemilik dan pewaris untuk membangunkan Kampong Bharu selari dengan hasrat Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Kerajaan Persekutuan.

Ditanya mengenai baki 12 peratus yang belum menyatakan persetujuan terhadap cadangan pembangunan itu, Amir Raslan berkata faktor kesukaran menyelesaikan isu pemilikan tanah berganda (­multiple ownership) adalah penyebab utama persetujuan tidak boleh dicapai dalam kalangan pemilik dan pewaris.

“Daripada jumlah yang dinyatakan tadi, PKB telah mengesan terdapat 590 kes kematian pemilik yang memerlukan penyelesaian isu harta pusaka.

“Ketiadaan muafakat antara pemilik dan pewaris tanah yang mengakibatkan kegagalan mendapat persetujuan bersama bagi menyelesaikan isu harta pusaka dan pembangunan semula,” katanya.

Beliau menambah, ada dalam kalangan pemilik dan pewaris yang menolak pembangunan kerana mahu mengekalkan aset hartanah sedia ada sebagai harta turun-temurun.

“Selain itu, ada dalam kalangan pemilik atau pewaris bersikap tunggu dan lihat serta menantikan tawaran terbaik yang boleh diterima mereka,” katanya.

Menurut Amir Raslan, pelaksanaan pembangunan Kampong Bharu adalah berdasarkan kepada Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu (PIPKB) yang memberi tempoh perancangan dan pembangunan sehingga 2040.

“Sebenarnya pembangunan ini boleh dilaksanakan tanpa persetujuan 100 peratus pemilik dan pewaris kerana ia adalah berdasarkan kepada ketetapan Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kuala Lumpur dan Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kampong Bharu yang telah menyatakan dengan jelas kaedah pengambilan tanah boleh dilaksanakan melalui seksyen 3(1)(b) atau (c) Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) sekiranya rundingan untuk mendapatkan persetujuan gagal dicapai,” katanya.

Rancangan pembangunan semula kampung tradisi Melayu dikatakan sukar untuk diteruskan berikutan masalah melibatkan pemilikan berganda dan kini telahpun meningkat sehingga kepada generasi ke lima serta tidak mendapat kata putus dalam kalangan waris.

Sumber: Wilayahku