PROGRAM MINI FESTIVAL MAKANAN DAN KESENIAN KAMPONG BHARU
24 Februari 2024 | Kenyataan Media
KUALA LUMPUR, 24 FEBRUARI 2024 – Bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2024 dan 50 Tahun Wilayah Persekutuan, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu hari ini menganjurkan Mini Festival Makanan dan Kesenian Kampong Bharu di Medan Pintasan Saloma. Festival ini bertujuan untuk menonjolkan warisan budaya dan pelbagai juadah makanan yang terdapat di Kampong Bharu, Kuala Lumpur kepada orang ramai termasuk para pelancong.
Mini Festival Makanan dan Kesenian Kampong Bharu ini juga dilengkapkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pemberian bubur lambuk percuma kepada para pengunjung yang hadir, pertandingan memasak serta pertandingan busana melayu. Lebih 40 peniaga tempatan menawarkan pelbagai hidangan makanan tradisional melayu yang merupakan tarikan utama festival ini. Pertunjukan seni dan budaya seperti tarian tradisional, persembahan nyanyian kebudayaan, pameran seni kraf tempatan turut diadakan. Orang ramai juga berpeluang untuk membeli-belah hasil produk buatan tangan seperti songkok, chapal, batik dan pelbagai lagi barangan kraf tempatan asli yang berkualiti tinggi di festival ini.
Tapak Mini Festival Makanan dan Kesenian Kampong Bharu ini akan dikekalkan sebagai lokasi penganjuran acara/program/festival secara berkala. Inisiatif ini akan dilaksanakan dengan kerjasama strategik bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) supaya Kampong Bharu kekal vibrant sebagai sebuah kampung dalam bandaraya yang masih mengekalkan warisan, budaya dan tradisi tetapi lengkap dengan infrastruktur moden.
Penambahan fasiliti awam dan menaiktaraf kemudahan rekreasi di Kampong Bharu dapat memberikan impak yang positif terhadap perkembangan ekonomi tempatan. Ikatan sosial dan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti tempatan dengan kepelbagaian budaya serta keunikan warisan menjadi menjadi asas kepada keharmonian komuniti Malaysia MADANI di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB)
24 Februari 2024