Rakyat teruja jumpa Agong santap nasi lemak pada hari keputeraan

Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim (tengah), meluangkan masa beramah mesra dan melayani keterujaan pengunjung restoran Nasi Lemak Wanjo di Kampung Baru, Kuala Lumpur, ketika beliau turun bersarapan di situ pada cuti umum Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Agong, 3 Jun. – Foto FACEBOOK SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR

Berdasarkan perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, orang ramai dilihat teruja dan tidak melepaskan peluang keemasan untuk bergambar dengan Agong.

“Sultan Ibrahim berangkat ke Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada pagi ini (3 Jun) untuk sarapan di kedai Nasi Lemak Wanjo,” menurut hantaran itu.

Sultan Ibrahim juga sudi meluangkan masa untuk beramah mesra serta bergambar dengan orang ramai yang berkunjung ke kedai makan popular berkenaan.

Rakyat Malaysia menyambut cuti umum sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Agong pada 3 Jun.

Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Agong, Sultan Ibrahim.

Menerusi catatan di Facebook, Datuk Anwar berkata beliau bagi pihak Kerajaan Perpaduan mendoakan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta seluruh Kerabat Diraja agar sentiasa berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

“Semoga baginda kekal qarar (tenang dan tenteram) memayungi negara dengan adil dan saksama serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara ini.

“Saya dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi kepada institusi raja berperlembagaan,” katanya.

Jemaah Menteri Malaysia turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Agong dan mendoakan pemerintahan beliau penuh kedaulatan, dilanjutkan usia dan sentiasa diberkati Allah swt.

Sumber: Berita Harian