Pampasan terlalu rendah, penduduk gesa nilai semula harga tanah Kampung Sungai Baru

 Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

KUALA LUMPUR: Lebih 100 pemilik hartanah di Kampung Sungai Baru di sini tidak bersetuju dengan nilai pampasan ditawarkan kepada mereka sebelum ini, yang disifatkan terlalu rendah berbanding nilai sebenar.

Justeru, mereka menggesa kerajaan mempertimbang semula nilai pampasan kepada pemilik hartanah Kampung Sungai Baru berbanding apa yang ditawarkan kerajaan terdahulu melalui undang-undang di bawah Akta Pengambilan (APT) Tanah 1960.

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, kerajaan perlu melaksanakan penilaian semula harga tanah dengan lebih adil berbanding RM450 hingga RM500 bagi setiap kaki persegi yang tawarkan kepada lebih 100 pemilik kediaman flat dan teres terbabit.

“Penilaian semula ini penting untuk mengelak berlaku sebarang kezaliman ke atas pemilik hartanah kampung Sungai Baru di Kampung Baru yang terbabit dengan APT Tanah 1960.

“Pihak Jawatankuasa penduduk, melalui saya juga telah menyerahkan surat kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa yang mana beliau berjanji akan meneliti tuntutan mereka,” katanya pada sidang media bersama pemilik hartanah terbabit di sini hari ini.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru, dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.
Disebabkan tertangguh terlalu lama, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggesa pemaju bagi projek pembangunan semula kawasan di Kampung Sungai Baru menyerahkan semula tanah berkenaan jika tidak lagi mempunyai kemampuan meneruskan projek berkenaan.

Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata ini kerana beliau mendapati kawasan terbabit masih belum menyaksikan sebarang projek pembangunan walaupun 95 peratus penduduk di situ sudah berpindah sejak enam tahun lalu.

Dalam pada itu, Khalid menegaskan pemilik hartanah Kampung Sungai Baru tidak menolak pembangunan, sebaliknya mempertikai nilai hartanah yang ditetapkan yang dikatakan amat rendah berbanding sebelum ini.

“Hartanah mereka pernah dinilai RM650 hingga RM850 bagi setiap kaki persegi, namun nilai yang ditawarkan hanya antara RM400 hingga RM450 bagi setiap kaki persegi.

“Jawatankuasa (Bertindak Kampung Sungai Baru) pernah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penilaian lebih rendah dan tidak adil.

“Justeru, Jabatan Penilaian dan Pembangunan Hartanah perlu disiasat bagaimana nilai ditawarkan di bawah APT jauh lebih rendah berbanding nilai sebenar dan saya sendiri akan semak dengan SPRM mengenai status aduan penduduk ini,” katanya.

Khalid juga berkata, pemilik hartanah meminta isu berkenaan diselesaikan dengan cara rundingan luar mahkamah bagi mendapatkan persetujuan bersama antara pembeli dan penjual.

Katanya, jika pembangunan diteruskan secara paksa, pemilik hanya akan menerima pampasan sekitar RM200,000 dan akan dibahagikan kepada semua waris, menjadikan setiap orang menerima kurang RM50,000.

“Dengan amaun itu, di mana mereka harus pergi… tak mungkin mereka dapat membeli rumah baharu dan dengan usia semakin meningkat sukar untuk mereka mendapatkan pinjaman bank.

“Jadi, kerajaan harus bertanggungjawab menyediakan rumah gantian dan memastikan mereka mempunyai tempat tinggal dan tidak menjadi gelandangan di tanah air sendiri,” katanya sambil memaklumkan 34 Unit rumah teres dalam kawasan sama tidak disertakan dalam cadangan pembangunan itu dan berisiko untuk terkepung.

Sumber: Berita Harian