Pengguna Pintasan Saloma perlu ikut peraturan ditetapkan – PKB

Pengguna Pintasan Saloma perlu ikut peraturan ditetapkan – PKB

SEMUA pihak terutama penunggang basikal yang mengguna laluan khas pejalan kaki disediakan di Pintasan Saloma disarankan mematuhi peraturan sedia ada yang ditetapkan demi keselamatan dan kebaikan bersama.

Perkara tersebut kata Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), perlu diberi perhatian oleh pengguna bagi bersama memelihara struktur dan binaan di kawasan ikonik pelancongan baharu di Kuala Lumpur itu.

Menurut PKB, adalah menjadi harapannya supaya Pintasan Saloma muncul sebagai antara lokasi Ikonik Pelancongan Baharu yang berpotensi dan menarik kehadiran pelancong bukan sahaja dari dalam negara malah di peringkat dunia.

“Oleh yang demikian PKB ingin mohon kerjasama pengguna basikal yang melalui Pintasan Saloma dapat mematuhi peraturan ditetapkan termasuk pengunjung tidak dibenar menunggang basikal di laluan di sepanjang Pintasan Saloma.

“Namun begitu mereka dibenar menuntun basikal masing-masing semasa melaluinya bagi pastikan keselamatan para pengunjung yang lain terjamin, selain tidak merosakkan struktur sekitar Pintasan Saloma,” kata PKB dalam kenyataannya, di sini.

Kenyataan media PKB menyusul berikutan satu kenyataan akhbar disiarkan MStar pada 22 Mac (semalam) berhubung isu yang tular media sosial menunjukkan penunggang berbasikal di Pintasan Saloma.

Menurut PKB, Pintasan Saloma atau Saloma Link adalah laluan pejalan kaki bertingkat dengan reka bentuk ikonik sepanjang 370 meter laluannya kini menghubungkan Kampong Bharu dengan KLCC, ketengahkan binaan unik berupa sirih junjung.

Sumber: Wilayahku