Serah tablet percuma, manfaatkan pelajar asnaf sekitar Kampung Bharu

Serah tablet percuma, manfaatkan pelajar asnaf sekitar Kampung Bharu

MENYEDARI kekangan yang dihadapi oleh pelajar asnaf mengikuti pembelajaran dari rumah (PdPR) mendorong Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) menjayakan inisiatif murni memberi tablet percuma kepada golongan memerlukan.

Bagi Pengerusi PKB, Datuk Affendi Zahari, usaha yang diambil melalui Program Penyerahan Tablet Percuma kepada 10 pelajar dalam kategori asnaf di sekitar Kampung Bharu itu, adalah sebahagian peranan entiti di dalam memperkasa anak bangsa yang berpendidikan seiring urbanisasi negara.

Beliau berkata, penggunaan tablet dalam proses pembelajaran semasa amat diperlukan malahan gajet tersebut merupakan medium penghubung penting pelajar dengan guru terutamanya dalam situasi penularan pandemik COVID-19 ketika ini.

“Jadi, atas rasa prihatin dan ehsan kami terhadap anak-anak ini untuk mengikuti sesi pembelajaran dengan sempurna, maka usaha ini dilaksanakan segera dengan keutamaan pelajar asnaf di sini.

Alhamdullilah inisiatif prihatin dan murni PKB ini turut dapat sokongan Kelab Pemuda Kampong Bharu, kerana peranan mencerdikan anak bangsa perlu digalas bersama demi kemajuan rakyat dan negara,” katanya yang turut menyerahkan tablet kepada pelajar di Kampung Bharu, Kuala Lumpur.

Serahan dari rumah ke rumah dengan patuhi SOP turut disertai oleh Pengerusi MPPWP Parlimen Titiwangsa, Datuk Azizulrahman Mohd Hussain Malim selain Timbalan Presiden PKB, Adi Wafri Shahruddin dan juga Setiausaha Kelab Pemuda Kampung Bharu, Akmaluddin Abdul Hadi.

Objektif utama program tersebut bagi membantu pelajar-pelajar golongan asnaf di Kampung Bharu untuk mengikuti sesi pembelajaran secara online dari rumah setelah kerajaan terpaksa tangguhkan persekolahan secara bersemuka bagi mengelak penularan pandemik COVID-19.

Program serahan bermula sekitar 11 pagi hujung minggu itu, menjadi ruang pertemuan interaktif untuk warga pengurusan PKB dengan penduduk setempat di Kampung Bharu, menjalin ukhuwah di samping mendekati kehidupan satu sama lain.

Mengulas lanjut Affendi berkata, sesi penyerahan tablet percuma kepada 10 pelajar asnaf terpilih, adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi PKB sebagai entiti dilantik sebagai perantara bagi pelaksanaan pembangunan Kampung Bharu.

“Secara keseluruhan, lebih sejam kami luangkan masa menyantuni 10 pelajar bersama keluarga mereka dengan berkunjung dari rumah ke rumah di sekitar Kampong Bharu.

“Saya secara peribadi terharu dan bersyujur atas penerimaan baik setiap penerima tablet ini yang rata-rata memerlukan untuk pembelajaran. Jadi, semoga sumbangan ini menjadi lonjakan terbaik untuk anak-anak ini belajar bersungguh-sungguh dan berjaya di masa hadapan,” ujarnya.

Sumber: Wilayahku