‘Bila baca perjanjian, banyak untungkan pemaju’

Syed Salehuddin menunjukkan lokasi terlibat pembangunan semula Kampung Sungai Baru seluas 17 ekar.

KUALA LUMPUR – Perjanjian pembangunan semula Kampung Sungai Baru di Kampung Baru di sini yang didakwa samar dan berat sebelah antara punca 110 penduduk di kawasan itu menolak tawaran tersebut lima tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Komuniti Sungai Baru, Syed Salehuddin Syed Abdullah berkata, baru-baru ini mereka menerima notis siasatan di bawah Borang F, Akta Pengambilan Tanah 1960 dan diminta hadir secara giliran pada 23 hingga 26 Ogos untuk diambil keterangan penilaian oleh Pejabat Tanah dan Galian.

Syed Salehuddin

                                                            Syed Salehuddin

Menurutnya, dijangkakan keputusan jumlah pampasan ke atas mereka yang belum menurunkan tandatangan persetujuan pembangunan itu akan diketahui Oktober ini.

“Kami harap keputusannya nanti adil dengan mengambil kira kawasan ini terletak di bawah Jalan Yap Kwan Seng dan bukannya di bawah Kampung Baru.

“Kadar pampasan juga mestilah mengambil kira status tanah untuk tujuan komesial serta kepadatan penduduknya yang tinggi. Kawasan ini boleh dibangunkan kediamanan sehingga 50 tingkat,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Kampung Sungai Baru melibatkan penduduk yang menetap di dua jenis kediaman, iaitu Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan rumah di tanah persendirian.

Sumber: Sinar Harian