RUU Tanah Kampung Baru lindung pemilik

Shahidan melakukan gimik Majlis Pelancaran Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu 2040 dan Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kampong Bharu di sebuah hotel malam ini. FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR: Draf Rang Undang-Undang (RUU) Tanah Kampung Baru yang dijangka dibentang di Parlimen awal tahun depan diharap memberi jaminan perlindungan seumur hidup kepada pemilik tanah Kampung Baru.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata sejak dulu tiada undang-undang boleh melindungi secara khusus Tanah Rizab Melayu bagi menghalang mana-mana pihak mahu menukar status tanah berkenaan.

“RUU Tanah Kampung Baru kini dalam semakan Pejabat Peguam Negara diharap dapat menjaga kepentingan hak milik pemilik tanah Kampung Baru sampai bila-bila, dan pembangunan dirancang pula dilaksanakan dalam bentuk pajakan serta dipersetujui bersama antara pemilik tanah dan pemaju.

“Saya yakin RUU ini sekiranya diperkenalkan akan menjadi panduan kepada negeri lain, supaya memperkenalkan RUU sama untuk menyelamatkan tanah daripada bertukar milik,” katanya pada ucapan perasmian pelancaran Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru 2040 (PIPKB 2040) dan Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kampung Baru (PPPSKB) di sini, malam ini.

Turut hadir Timbalan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Pengerusi Perbadanan Kampong Bharu (PKB), Datuk Affendi Zahari.

Sementara itu mengenai PIPKB 2040, Shahidan berkata, pelan induk itu dirangka sebagai dokumen panduan untuk mentransformasi pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial secara bersepadu sekali gus memandu hala tuju Kampung Baru secara menyeluruh untuk 20 tahun akan datang.

“Ia menjadi mekanisme kepada kerajaan dan PKB khususnya memudah cara, mengawal selia dan menilai semua cadangan pembangunan sama ada secara usaha sama penduduk, pemaju dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Insya-Allah pelan induk ini akan menjadikan Kampung Baru sebagai penempatan kompetitif yang memberi keutamaan kepada orang Melayu di tengah ibu negara,” katanya.

Shahidan berkata, PPPSKB pula disediakan bagi membantu dan menggalakkan pemilik membangunkan tanah secara bersendirian atau membuat usaha sama dengan pemaju, GLC dan swasta.

Katanya, PPPSKB menyediakan insentif khusus akan dinikmati pemilik tanah dan pemaju merangkumi urusan hal tanah dan pembangunan iaitu antaranya pengecualian 100 peratus caj pembangunan, pemberian nisbah plot terbuka dan pengurangan 70 peratus caj ‘Infrastructure Service Fund’.

Sumber: BERNAMA