(PARLIMEN) Mana janji RM3,000 sekaki persegi untuk penduduk Kampung Baru?

KUALA LUMPUR: “Apa sudah jadi dengan tawaran RM3,000 sekaki persegi untuk penduduk Kampung Baru?”

Demikian persoalan dibangkitkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun) berkait isu tanah di Kampung Baru yang menjadi kecoh di media sosial baru-baru ini di Dewan Rakyat hari ini

“Projek Pembangunan Kampung Baru yang bernilai RM84 juta. Saya tahu di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan juga ada peruntukkan iaitu RM36 juta di bawah Perbadanan Pembangunan Kampung Baru.

“Zaman PH (Pakatan Harapan) dulu, PH telah menawarkan kepada pemilik tanah RM850 persegi dan dinaikkan kepada RM1,000 sekaki persegi,” katanya.

Menurut Mukhriz, pembangkang ketika itu termasuk Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak mengatakan kerajaan tidak boleh menggunakan akta pengambilan tanah di Kampung Baru kecuali untuk membina kemudahan untuk orang ramai seperti hospital dan sebagainya.

“Mereka ini juga mendesak kerajaan membayar RM3,000 sekaki persegi kononnya tawaran RM1,000 satu penganiayaan kepada masyarakat Melayu yang menetap di situ.

“Hari ini, kita terima berita penduduk Kampung Bharu diarah mengosongkan unit mereka di Flat PKNS dan di rumah tanah persendirian dan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kononnya pembela orang Melayu itu hanya menawarkan RM400 sekaki persegi. Jadi saya hendak tanya apa sudah jadi pada tawaran RM3,000 dulu?

“Jika ini caranya, tidak mengejutkan tanah rizab orang Melayu hanya tinggal 12 peratus . Saya harap kerajaan ini bukan hanya retorik sahaja iaitu ‘put your money where your mouth is’ yang bermaksud untuk BN mengotakan janjinya menawarkan RM3,000 sekaki persegi,” jelasnya.

Sumber:Utusan Online