KUALA LUMPUR: Khalid Abd. Samad (Amanah-Shah Alam) mencabar ahli Parlimen UMNO dan Pas untuk hadir ke sidang Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini bagi meneliti isu mengenai pengambilan tanah lot dan flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru.

“Saya nak panggil ahli Parlimen daripada UMNO, Pas dulu, yang juara-juara nak menentang apa yang diusahakan Pakatan Harapan hadir dalam Kamar Khas. Tengok cara yang dilakukan Barisan Nasional, Perikatan Nasional jauh lebih teruk,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sidang Kamar Khas tersebut akan berlangsung pada pukul 2.30 petang ini bagi meneliti isu kepentingan pemilik tanah dan tindakan kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) di kawasan ‘segi tiga emas’ di ibu kota itu.

Keputusan tersebut dibacakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon setelah usul itu disebut semula dalam Dewan Rakyat oleh Khalid sebentar tadi.

Menurut Mohd. Rashid, usul berhubung isu terbabit dikemukakan bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) oleh Khalid pada 8 Disember lalu untuk dirundingkan di Kamar Khas.

“Saya meneliti semua prasyarat ini dan mendapati ia memenuhi syarat, justeru usul ini akan dirundingkan di Kamar Khas pada jam 2.30 petang nanti,” katanya menerusi kenyataan yang diputuskan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Isu pengambilan tanah Kampung Baru kembali hangat apabila kerajaan didakwa menggunakan Akta 486 di kawasan ‘segi tiga emas’ di ibu kota itu untuk dimajukan dengan pampasan hanya RM400 setiap kaki persegi.

Media sebelum ini melaporkan rancangan pembangunan semula itu meliputi kawasan penduduk yang mendiami dua jenis kediaman, iaitu flat PKNS dan rumah di tanah persendirian.

Sebanyak 70 peratus pemilik di kawasan terbabit didakwa bersetuju dengan pembangunan semula kawasan berkenaan dan memberikan tandatangan.

Pada Ogos lalu, beberapa penduduk yang belum menurunkan tandatangan, dilaporkan menerima notis siasatan mengikut Borang F, Akta Pengambilan Tanah 1960, dan diminta hadir secara bergilir pada 23 hingga 26 Ogos untuk diambil keterangan penilaian oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Penduduk rumah flat PKNS itu dikatakan memperoleh keputusan nilai pampasan antara RM200,000 hingga RM250,000.

Sumber: Utusan