Pembangunan semula Flat Kampung Baru ikut jadual

Flat PKNS Jalan Tun Razak, Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Jiankun International Bhd (Jiankun) yakin projek pembangunan semula Flat PKNS Jalan Tun Razak, Kampung Baru akan berjalan mengikut garis masa yang ditetapkan bagi memastikan gangguan minimum kepada penduduk dan masyarakat setempat.

Projek pembangunan semula dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM1.2 bilion itu akan dijalankan oleh Menara Rezeki Properties Sdn Bhd.

Jiankun dan Menara Rezeki masing-masing mempunyai 70 peratus dan 30 peratus pegangan dalam Menara Rezeki Properties dan menjadi pemaju teras projek pembangunan semula itu.

Dalam satu kenyataan, Jiankun berkata pemaju sudah bertemu dengan penduduk untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai cadangan projek pembangunan semula, tawaran dan perkhidmatan yang akan disediakan untuk penduduk PKNS serta mendengar luahan pandangan daripada penduduk terhadap projek terbabit.

“Apa yang penting, kedua-dua pihak dan penduduk dapat berkomunikasi supaya proses perobohan Flat PKNS Jalan Tun Razak di Kampung Baru dapat dilakukan dengan lancar dan bertanggungjawab.

“Ini akan membantu kami untuk bergerak ke hadapan dengan projek pembangunan semula itu kerana penting bagi komuniti setempat untuk mempunyai pemahaman yang jelas terhadap cadangan dan cara ia memberi manfaat kepada masyarakat,” kata Pengarah Eksekutifnya, Azmi Osman.

Di bawah cadangan pelan pembangunan semula itu, pemaju akan membina menara pangsapuri 52 tingkat untuk pemilik sedia ada Flat PKNS Jalan Tun Razak.

Projek pembangunan semula yang dicadangkan itu termasuk menempatkan semula penduduk sedia ada ke pangsapuri baharu yang akan dibina serta pampasan menyeluruh untuk penduduk sedia ada.

Sumber: Bernama