PKB nafi tiada perjumpaan pemilik tanah Kg Baru dengan pemaju, Shahidan

story image

Dakwaan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abd Samad bahawa tiada pertemuan dijalankan antara pemaju dan pemilik tanah Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, di Kuala Lumpur dengan Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim disifatkan sebagai tidak benar.

Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) menjelaskan, sesi perjumpaan antara Shahidan bersama pemilik diaturkan pada 6 Dis lepas di Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, manakala perjumpaan bersama pemaju diadakan 8 Dis lalu, bagi menyelesaikan isu berbangkit pengambilan tanah di kampung berkenaan.

“Hasil perjumpaan berkenaan, Menteri Wilayah Persekutuan meminta pemaju untuk mengkaji semula tawaran atau pakej yang lebih baik untuk diberikan kepada pemilik Kampung Sungai Baru, bagi membantu mereka mendapat sebuah rumah dan wang tunai,” menurut PKB dalam kenyataan hari ini.

PKB memaklumkan pada 10 Dis, pemaju bersetuju menyediakan tawaran baharu dinamakan Pakej Harmoni kepada pemilik unit flat, yang diputuskan jumlah pampasan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTGWPKL), pada sesi siasatan pengambilan tanah.

“Pakej Harmoni menawarkan sebuah unit kediaman berkeluasan 900 kaki persegi yang bernilai RM300,000, dengan jumlah pampasan pengambilan tanah yang diterima oleh pemilik flat dipulangkan separuh kepada pemaju.

“Sebagai contoh, pemilik yang menerima pampasan pengambilan tanah berjumlah RM250,000 boleh memiliki pakej ini dengan harga RM125,000 sahaja,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut kediaman Pakej Harmoni dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air berserta satu petak aksesori tempat letak kereta, sementara pakej itu bagi pemilik teres pula akan ditawarkan semasa siasatan pengambilan tanah yang diadakan kelak.

Bagi projek pembangunan semula Kampung Baru dijangka mengambil masa 10 tahun dan dilaksanakan secara berperingkat, bagi memastikan aliran tunai pemaju mampu untuk menampung pelaksanaan pembangunan bagi plot berikutnya dalam tempoh tersebut.

“Pendekatan dan tindakan segera Menteri Wilayah Persekutuan berkenaan isu ini telah menyelesaikan isu pemilik tanah terlibat dengan pengambilan tanah,” menurut kenyataan tersebut.

Pada 5 Dis lepas, Khalid dilaporkan berkata sehingga kini, tiada pertemuan dibuat antara pemaju dan pemilik tanah Sungai Baru, Kampung Baru dengan Shahidan bagi menyelesaikan isu berbangkit pengambilan tanah di kawasan berkenaan.

Sumber: Malaysiakini