KWP terbuka jika SPRM mahu siasat isu Kampung Sungai Baru

SHAHIDAN pada Majlis Makan Malam Jubli Emas Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim.

Kuala Lumpur: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) terbuka sekiranya Suruhannya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menyiasat jika terdapat unsur rasuah dalam pengambilalihan tanah penduduk Kampung Sungai Baru, di sini.

Menterinya Datuk Seri Dr Shahidan Kasim berkata, pihaknya tiada masalah untuk perkara itu disiasat, yang mana pengambilalihan adalah mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486).

“Warta mengikut Seksyen 8 Akta 486 bukan perkara baharu tetapi sudah berlaku sejak 2020 lagi.

“Saya yang minta supaya ia ditangguhkan supaya mereka (penduduk dan pemaju) dapat menyelesaikan masalah itu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Jubli Emas Kuala Lumpur di Kanopi@ Taman Botani Perdana di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, sesi libat urus bagi urusan pengambilalihan itu sudah diadakan dan kenyataan berkaitan hal berkenaan akan diumumkan nanti.

“Sekiranya isu ini masih tidak dapat diselesaikan, kita akan ikut proses undang-undang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan rayuan penduduk Kampung Sungai Baru di Kampung Baru di sini yang mahu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turun padang menyelesaikan kemelut pengambilalihan tanah menempatkan kediaman mereka oleh syarikat pemaju.

Menurut penduduk, campur tangan Perdana Menteri perlu untuk membela nasib mereka yang tidak dapat berunding secara terus dengan pemaju, selain mendakwa gagal mendapat tawaran pampasan yang munasabah.

Pada 11 April lalu, Shahidan dilapor mahu rundingan diteruskan bagi mencari penyelesaian terhadap arahan pengosongan rumah penduduk Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Sungai Baru yang sebelum ini diarahkan berpindah pada Ramadan lalu.

Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dalam maklum balas kemudian menjelaskan, Perbadanan Kampung Baru selaku pemegang hak kepada flat terbabit dalam pengambilan tanah bagi pembangunan semula Kampung Sungai Baru, tiada halangan membenarkan pemilik kediaman itu terus mendiami rumah berkenaan sehingga 31 Julai depan.

Rancangan pembangunan di Kampung Sungai Baru dilapor membabitkan penduduk di dua jenis kediaman, iaitu Flat PKNS dan rumah di tanah persendirian, dengan 264 daripada 328 unit adalah flat dan selebihnya rumah teres dianggar berkeluasan 6.8 hektar.

Difahamkan, 30 peratus penduduk tidak bersetuju dengan pampasan ditawarkan, iaitu RM240,000 hingga RM260,000 bagi unit flat dan kira-kira RM400 sekaki persegi bagi kategori rumah teres.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad yang meminta SPRM campur tangan dalam pengambilalihan tanah Kampung Sungai Baru kerana disyaki ada unsur rasuah.

Sumber:Harian Metro