Analisa pengambilan tanah Kampung Sungai Baru di fasa akhir

KUALA LUMPUR – Pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini sedang di fasa akhir analisa dan akan diputuskan mengikut saluran undang-undang.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, beliau telah memberikan tempoh yang panjang kepada 37 pemilik rumah teres untuk berbincang dengan pemaju bagi mencapai kata sepakat.

Bagaimanapun katanya, perbincangan antara kedua belah pihak itu menemui jalan buntu dan keputusan serta-merta perlu dilakukan dan tidak boleh ditangguhkan lagi.

“Proses pengambilan tanah sepatutnya dibuat pada Disember lalu, namun saya minta proses itu ditangguhkan sekejap.

“Dari segi peruntukan undang-undang, saya tak boleh berbuat demikian tapi ia dilakukan bagi memberi ruang perbincangan antara kedua belah pihak, ” katanya pada siaran langsung di Facebook beliau pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas status terkini bantahan melibatkan 37 pemilik rumah teres yang menggesa pewartaan pengambilan tanah terlibat bagi pembangunan semula Kampung Sungai Baru dimansuhkan.

Shahidan berkata, permintaan penduduk berkenaan akan melibatkan semua pihak selain perlu mengambil kira 291 penduduk yang telah mengosongkan unit selepas bersetuju dengan projek tersebut.

“Ke mana mereka yang telah kosongkan rumah ini akan dipindahkan, mereka tak boleh pindah ke rumah lama kerana rumah lama telah rosak.

Sumber: Sinar Harian