PENCAHAYAAN PINTASAN SALOMA BERWARNA MERAH SEMPENA HARI JANTUNG SEDUNIA

28 September 2021 | Kenyataan Media

KUALA LUMPUR, Selasa, 28 September 2021 – Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) telah menetapkan tema pencahayaan Pintasan Saloma dengan warna merah sempena Sambutan Hari Jantung Sedunia pada 29 September 2021. Setiap tahun pada 29 September semua monumen di seluruh dunia akan diterangi cahaya merah bagi meraikan sambutan Hari Jantung Sedunia. National Heart Association of Malaysia selaku ahli World Heart Federation menyambut baik kolaborasi bersama PKB bersempena Hari Jantung Sedunia. Pencahayaan warna merah di Pintasan Saloma akan bercahaya pada 28 hingga 29 September 2021 bermula jam 7.00 malam sehingga 12.00 tengah malam.

Sambutan Hari Jantung Sedunia merupakan agenda tahunan di seluruh dunia yang bertujuan memberi kesedaran tentang kepentingan gaya hidup sihat bagi mencegah penyakit jantung. Inisiatif ini yang diperkenalkan oleh World Heart Federation sebuah organisasi di Geneva Switzerland, merupakan sambutan terbesar untuk kesihatan kardiovaskular dan menjadi medium dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit jantung, faktor risiko dan bahaya penyakit jantung serta langkah- langkah bagi mencegah penyakit jantung. Pencahayaan warna merah adalah juga sebagai tanda sokongan, mesej Hari Jantung Sedunia dan simbol visual perjuangan menentang risiko kematian pra-matang akibat penyakit jantung.

PKB melalui Pintasan Saloma sentiasa prihatin bersama masyarakat di Malaysia dan dunia untuk menyokong inisiatif kempen hari-hari kesihatan dan kesejahteraan kepada dunia.

###

Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB)

28 September 2021