PKB adakan taklimat hala tuju pembangunan semula Kampong Bharu

KUALA LUMPUR, 22 November – Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) hari ini mengadakan pertemuan dengan pewaris dan pemilik tanah Kampong Bharu bagi memberi penjelasan berkenaan hala tuju baharu pembangunan semula kawasan berkenaan.

Sesi taklimat dan penerangan Pelan Induk Pembangunan Kampong Baharu 2040 (PIPKB) ini merupakan sesi taklimat terakhir untuk tahun ini.

Menurut Ketua pegawai Eksekutif PKB, Datuk Lokman Omar, program yang bermula awal tahun ini dilaksanakan secara bersasar bertujuan memberi pemahaman kepada pemilik dan pewaris terhadap kaedah dan mekanisme pelaksanaannya.

Sesi taklimat hari ini dihadiri pemilik dari blok A30, A31, A32 serta A19 dan merupakan penduduk kampung Paya dan sebahagian penduduk kampung Masjid.

(Ketua pegawai Eksekutif PKB, Datuk Lokman Omar)

“Taklimat ini merupakan libat urus yang kita panggil pemilik-pemilik tanah datang ke PKB untuk menerangkan pembangunan Kampong Baru masa akan datang, di mana kita telah menukarkan strategi daripada untuk membangunkan secara keseluruhan kepada dalam bentuk blok-blok yang kita cadangkan sebanyak 44 blok, dua blok telah ada pembangunan, ada baki 42 lagi, jadi kita nak memberitahu mereka pembangunan secara blok-blok ini, kita akan teruskan,” kata beliau.

Namun Lokman menjelaskan, sebelum projek pembangunan Kampong Bharu dapat diteruskan, utiliti dan infrastruktur di kawasan berkenaan perlu diperbaiki dan dinaik taraf terlebih dahulu memandangkan ia jauh ketinggalan.

Selain dari itu, pihaknya turut giat mempromosikan blok-blok pembangunan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pemaju swasta dan pelabur .

PKB juga mengalu-alukan kerjasama dari pelbagai pihak untuk membangunkan semula Kampong Bharu bagi mewujudkan sebuah pembangunan bandar yang lebih teratur dan berdaya huni untuk masa depan.

Sumber: Berita RTM