Pintasan Saloma terus jadi tumpuan

SAMA seperti Bridge of Peace di Tbilisi, Georgia namun keunikan Pintasan Saloma terletak pada konsep Melayu dengan reka bentuk sirih junjung yang sinonim dengan adat resam masyarakat tersebut.

Merupakan sebuah jambatan gabungan pejalan kaki dan pengayuh basikal sepanjang 69 meter yang menyeberangi Sungai Klang, nama mercu ikonik ini berasal daripada penyanyi keturunan Malaysia-Singapura, Saloma.

Sejak dibuka pada 5 Februari 2020 lalu, ia menjadi tarikan dan tumpuan pelancong tempatan dan luar negara yang mengambil kesempatan merakam gambar berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas.

Merupakan akses bagi memudahkan orang ramai untuk berjalan kaki dari KLCC ke Kampung Baru, jambatan yang menelan kos RM31 juta itu dibina berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kampung Baru merentasi Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Lebih menarik, ia turut dilengkapi hiasan sistem pencahayaan 4,100 unit sistem lampu diod pemancar cahaya (LED) yang akan memancarkan pelbagai warna pada sebelah malam selain bertukar mengikut tema termasuklah ketika musim perayaan.

Keindahannya jelas kelihatan pada waktu malam, biarpun sudah empat tahun beroperasi, ia tetap menjadi destinasi wajib dilawati bagi pelancong.

Menurut salah seorang pengunjung, Mohd Azmi Md Seh, 38, kedudukan pintasan yang berhampiran dengan pengangkutan awam menjadikannya lokasi yang mudah dikunjungi.

“Kalau kita lihat ramai yang berjalan kaki dari Kampung Baru melalui pintasan ini untuk ke KLCC sambil menikmati reka bentuk moden dan abstrak,” ujarnya.

Selain itu, Nazifa Syahirah Mohd Shaffie, 21, berkata limpahan lampu warna-warni di sebelah malam menjadikan pintasan ini salah satu lokasi bergambar yang cantik untuk dimuat naik ke media sosial.

“Bukan itu sahaja, keselamatan di sini turut terjaga kerana ia dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) selain adanya pengawal keselamatan bertugas bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.

“Paling membuatkan saya teruja, ia terletak berhampiran dengan kawasan syurga makanan, Kampung Baru. Selain itu, orang ramai juga boleh mengunjungi KLCC, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) dan bersantai di Sembang PJ Art Lane yang terkenal dengan food truck,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Siti Mashitah Mohd Riduwan, 25, pula dia sanggup datang jauh dari Terengganu semata-mata ingin menyaksikan keindahan seni bina tersebut.

“Memandangkan lokasi ini popular di media sosial, jadi saya teruja untuk melihat sendiri reka bentuk jambatan ini biarpun baru sekarang berpeluang untuk ke sini setelah lebih empat tahun ia dibuka,”katanya.

Sumber: Wilayahku